Wednesday, October 19, 2005

the power of exaggeration..

shahrir, ko terperangkap..
itu org panggil tactic 'exaggeration'.
bila statement ko ditokoktambah maka wujud panic..
hendak tak ndak, ko terpaksa buat statement lagi sekali..
see.. ko jugak yg kena balik..


6 Comments:

Anonymous Anonymous said...

`Sistem AP baik, pelaksanaan tidak'
Oleh HAIRULAZIM MAHMUD

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan sistem permit import (AP) kereta sebagai satu dasar yang baik tetapi menyuarakan rasa kesal kerana ia telah disalah guna oleh sebahagian besar penerimanya.

Bekas Perdana Menteri berkata, banyak penerima telah menjual AP dan tidak berusaha membuka syarikat untuk menjual kereta-kereta itu sendiri.

``AP mesti diberikan kepada individu sebenar yang mahu berniaga, bukan kepada satu atau dua orang yang mahu menjual AP.

``Ini yang merosakkan sistem AP ini. Sistem AP ini baik tetapi pelaksanaannya tidak (baik).

``Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) adalah kementerian yang sepatutnya bertanggungjawab tetapi ia mesti dilakukan dengan betul.

``Itulah kesimpulan saya sebab orang-orang ini diberi AP untuk membawa masuk bahagian-bahagian kenderaan untuk dipasang dan mereka tidak ada kemudahan untuk melakukannya,'' katanya dalam wawancara program The Exchange yang disiarkan oleh TV3 di sini malam ini.

Dr. Mahathir sebelum ini berkata, masih banyak persoalan yang tidak dijawab Datuk Seri Rafidah Aziz mengenai isu pemberian AP di Parlimen baru-baru ini.

Sambil menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai penjelasan tersebut, beliau yang juga Penasihat Proton Holdings Bhd. berkata, penerangan yang dilakukan oleh Rafidah mengenai isu itu tidak menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh Ahli-Ahli Parlimen.

Sementara itu, Dr. Mahathir turut mendedahkan kandungan dua surat iaitu surat jawapan beliau kepada Menteri MITI, Datuk Seri Rafidah Aziz berkaitan isu permit import (AP) kenderaan dan surat permohonan syarikat Naza Kia Sdn. Bhd. (NKSB) melibatkan `pengiktirafan' kenderaan pelbagai guna (MPV) Kia Carnival sebagai kereta nasional.

Dalam surat jawapan kepada Rafidah, bekas Perdana Menteri itu menyentuh tujuh perkara termasuk isu AP dan penjelasan soal pengiktirafan Kia Carnival sebagai kenderaan nasional.

Dr. Mahathir menegaskan, beliau tidak pernah meluluskan kenderaan itu sebagai kenderaan nasional.

``Tetapi apabila saya kembali ke Kabinet dan tanya kenapa kereta ini (KIA Karnival) diberikan taraf kenderaan nasional dan jawapan yang saya terima ia telah diluluskan.

``Saya kata, saya tidak meluluskannya. Kemudian dikatakan ia sudah pun berlaku dan tidak ada apa-apa lagi yang boleh kita buat,'' jelasnya.

Dr. Mahathir berkata, apa yang diminta oleh NKSB ketika itu ialah nasihat bagi menjadikan MPV itu sebuah kenderaan nasional.

Memetik kandungan surat bertarikh 21 Mei 2002 yang bertajuk `Cadangan pemasangan kenderaan Kia Carnival sebagai jenama barangan buatan Malaysia - kenderaan nasional', beliau memberitahu: ``Sehubungan dengan itu, NKSB berharap Yang Amat Berhormat Datuk Seri dapat memberi khidmat nasihat serta dorongan untuk kami mula merancang ke arah menjadikan Kia Carnival sebagai kenderaan dua guna, yang berkapasiti 2,500 cc yang pertama buatan tempatan, iaitu kenderaan nasional.''

Beliau berkata, surat itu tidak memohon kelulusan sebaliknya nasihat bagi membolehkan NKSB mendapatkan status kereta nasional bagi Kia Carnival.

Ditanya kekeliruan yang ditimbulkan oleh surat tersebut, beliau berkata, ia sebenarnya telah diperjelaskan sebelum ini.

Katanya, semasa melancarkan kenderaan berkenaan beliau terkejut apabila mendapati ia telah mendapat taraf kenderaan nasional dan dinamakan semula sebagai Naza Ria.

``Tetapi ia sudah terlambat untuk saya beredar,'' jelas beliau.

Mengenai syarat 40 peratus kandungan tempatan untuk layak menjadi produk nasional di bawah perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), Dr. Mahathir berkata, keputusan itu bukanlah dibuat oleh Kabinet.

Sebaliknya, jelas beliau, dalam kertas Kabinet perkara itu tidak disebut langsung.

Perbincangan mengenainya diuruskan oleh menteri terbabit (Rafidah) dan Jemaah Menteri hanya meluluskan.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_07.htm

10/20/2005 05:49:00 PM  
Anonymous Anonymous said...

Proton perlu berkualiti
Oleh Mohd Zin Ali

Kereta Asean hanya memerlukan 40 peratus bahan tempatan

JOHOR BAHRU: Kereta nasional, Proton perlu mempunyai kualiti tinggi dan dapat dijual pada harga yang kompetitif supaya mampu bersaing dengan kenderaan negara lain.



Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Datuk Shahrir Abdul Samad, berkata Proton sepatutnya mengambil tindakan dengan mengambil kira dasar yang digalakkan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA).

Beliau berkata, mengikut AFTA, konsep kereta Asean yang dapat menerima keistimewaan AFTA hanya perlu memiliki sekurang-kurangnya kandungan bahan tempatannya sebanyak 40 peratus.

"Sekiranya memiliki 90 peratus kandungan bahan tempatan menyebabkan kesan buruk kepada tahap kompetitif Proton sehingga harganya menjadi lebih mahal berbanding kenderaan negara lain, maka kita perlu rasional dan lojik untuk menurunkan kandungan bahan tempatannya supaya harga Proton juga turun serta menjadi kompetitif.

"Kita harus mengakui bahawa pasaran AFTA adalah jauh lebih besar daripada pasaran tempatan. Sekiranya kita gagal menyesuaikan diri dengan AFTA, yang rugi kelak adalah kita dan negara.

"Jika AFTA mengatakan hanya perlu bahan tempatan sebanyak 40 peratus maka tidak perlulah kita mempunyai sebanyak 90 peratus kecuali jika ia mampu menjadikan Proton lebih murah dan kompetitif," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam rancangan `The Exchange' terbitan TV3 yang menafikan meluluskan Naza Ria sebagai kenderaan berstatus kereta nasional walaupun kandungan bahan tempatannya hanya 18 peratus.

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Sunday/Nasional/20051016105437/Article

10/20/2005 05:51:00 PM  
Anonymous Anonymous said...

Proton perlu ditutup kalau tidak berdaya saing - Mahathir

PUTRAJAYA 17 Okt. - Proton Holdings Berhad (Proton) perlu ditutup jika rakyat menganggap ia tidak berdaya saing sehingga membebankan negara dan menyumbang kepada harga kereta yang tinggi di negara ini, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Penasihat Proton itu berkata, pihak pengurusan Proton perlu melihat dan mengambil kira semua pandangan orang ramai berhubung kedudukan serta prestasi terkini kereta nasional itu demi kepentingan masa depan industri automotif negara.

``Kita tutup sahaja Proton kalau itu yang orang mahu, jika ada yang berpendapat ia sebagai cara mengatasi masalah yang banyak kita dengar hari ini, termasuk masalah AP (permit import) dan sebagainya.

``Satu cara untuk mengatasi masalah ini ialah kita tidak ada perusahaan automotif di Malaysia, kita tutup sahajalah (Proton),'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Geran Penyelidikan Yayasan Kepimpinan Perdana 2005 kepada lima sarjana institusi pengajian tinggi awam (IPTA), tempatan di sini hari ini.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu mengakui bahawa Proton merupakan idea beliau untuk menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara pengeluar produk automotif ketika memegang jawatan Perdana Menteri.

``Memang Proton merupakan idea saya tetapi tidak bermakna kerajaan menyokong pandangan saya,'' tambah beliau.

Sabtu lalu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Shahrir Samad berkata, Proton harus ditutup sekiranya industri kereta nasional yang telah beroperasi lebih 20 tahun tersebut masih gagal memenuhi piawaian kualiti antarabangsa serta tidak mampu dieksport ke luar negara.

Beliau berkata, kereta-kereta keluaran Proton yang menggunakan hampir 90 peratus komponen tempatan tidak memberi sebarang kesan kerana harga kenderaan keluarannya masih tinggi dan tidak kompetitif berbanding dengan kereta-kereta import.

Menurut Shahrir, penggunaan 40 peratus komponen tempatan bagi setiap kereta keluaran Proton memadai untuk membolehkan harga kenderaan itu turut bersaing dalam Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) khususnya bagi menawarkan harga yang kompetitif serta mampu dibeli oleh rakyat tempatan.

Kenyataan tersebut merupakan reaksi Shahrir berhubung penafian bekas Perdana Menteri itu dalam wawancara dengan TV3 melalui rancangan The Exchange mengenai pemberian status kereta nasional kepada Naza Ria yang hanya menggunakan 18 peratus komponen tempatan.

Dalam pada itu, beberapa reaksi orang ramai menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung kenyataan Shahrir yang diterbitkan oleh sebuah akhbar hari ini, menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan segera menutup Proton kerana dianggap membebankan rakyat dan gagal mencapai objektif.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, beliau telah bosan kerana terpaksa menjawab pelbagai isu berhubung Proton setiap masa dan pertanyaan tersebut seolah-olah menggambarkan hanya beliau yang membuat keputusan berhubung kereta nasional itu.

``Saya terpaksa menjawab. Sekarang ini saya agak bosan dengan pembetulan. Bila ada yang bertanya, saya terpaksa menjawab lagi. Tapi, saya masih memegang jawatan sebagai Penasihat Proton.

``Begitu juga dengan isu AP. Saya bosan terhadap kontroversi seperti ini, dah beberapa bulan tetapi belum surut,'' tambah beliau.

Mengenai surat beliau bertarikh 14 Julai 2005 kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, Dr. Mahathir berkata, ia merupakan pandangannya berhubung beberapa aspek tentang AP.

``Saya hanya mendedahkan kandungan surat saya. Jadi, terserah kepada orang ramai sama ada mahu mempercayainya atau tidak apa yang saya ceritakan dalam surat itu. Sudah semestinya saya menjelaskan yang terbaik kepada semua pihak,'' katanya.

10/20/2005 05:52:00 PM  
Anonymous Anonymous said...

Tanjung Malim boleh jadi `bandar mati'
Oleh: JAMDI NASIR

IPOH 18 Okt. - Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali berkata, penutupan Proton Holdings Berhad (Proton) boleh menjadikan Tanjung Malim sebagai `bandar mati' sekali gus menjejaskan pembangunan ekonomi negeri Perak.

Menurut beliau, penutupan kilang Proton di Tanjung Malim tidak sepatutnya berlaku terutama dengan perbelanjaan besar bagi membuka kilang itu serta tenaga kerja yang hampir 90 peratus terdiri daripada Bumiputera.

Sehubungan itu katanya, sebarang kontroversi berhubung Proton yang didakwa gagal memenuhi piawaian kualiti antarabangsa tidak seharusnya diheret sehingga menyebabkan syarikat itu ditutup.

``Kalau nak tutup kena buat kajian terperinci dahulu kerana bandar Tanjung Malim yang kini membangun kerana Proton akan menjadi bandar mati.

``Kalau boleh diselamatkan, selamatkanlah Proton dan perlu ada keputusan menang-menang dalam isu ini,'' katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian kuih raya kepada pasukan keselamatan di kediamannya di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam bahawa Proton perlu ditutup jika rakyat menganggap ia tidak berdaya saing sehingga membebankan negara dan menyumbang kepada harga kereta yang tinggi di negara ini.

Penasihat Proton itu berkata, pihak pengurusan Proton perlu melihat dan mengambil kira semua pandangan orang ramai berhubung kedudukan serta prestasi terkini kereta nasional itu demi kepentingan masa depan industri automotif negara.

Menurut Tajol Rosli, berikutan perkembangan sosio ekonomi di Tanjung Malim serta sekitar Slim River ekoran pembukaan kilang Proton, kerajaan negeri merancang menaik taraf kawasan itu sebagai majlis perbandaran.

``Kini nilai hartanah di Tanjung Malim telah meningkat dan orang ramai rancak membeli rumah dan sebagainya berikutan adanya Proton, malah kerajaan negeri banyak berkorban bagi memajukan kawasan itu yang bersempadan dengan Selangor,'' ujar beliau.

Beliau turut menarik perhatian bahawa dalam meningkatkan daya saing kereta keluaran Proton, syarikat itu tidak sewajarnya dikenakan tekanan atau syarat yang ketat untuk diiktiraf sebagai kereta nasional.

Beliau berkata, syarat supaya Proton menggunakan 90 peratus komponen tempatan menjadikan harga kereta nasional masih tinggi berbanding kereta import kerana perlu melindungi kepentingan vendor.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=1019&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_06.htm

10/20/2005 05:53:00 PM  
Blogger spyz said...

Jangan tutup Proton -- Ia merupakan aset dan libatkan maruah negara - Ahli ekonomi

Oleh: NORLIZA ABD. RAHMAN dan S. ANAND KUMAR

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Proton Holdings Berhad (Proton) perlu dipertahankan kerana ia merupakan aset negara dan langkah drastik perlu diambil supaya syarikat automotif itu dapat bersaing di peringkat global.

Sebagai sebuah syarikat yang berdaya maju, Proton tidak boleh ditutup kerana ia turut membabitkan maruah negara.

Sebaliknya, apa yang boleh dilakukan untuk memastikan ia terus berdaya saing dan mampu bersaing dengan pengeluar kenderaan lain di seluruh dunia ialah mencari langkah segera meningkatkan prestasi dan kualiti kereta nasional itu.

Prof. Diraja Ungku Aziz berkata, satu kajian secara efektif dan canggih harus dibuat terhadap Proton bagi memantapkan lagi lambang negara itu.

Kata beliau, diharapkan kajian itu akan dapat melihat secara mendalam apakah masalah sebenar yang dihadapi oleh Proton selama ini.

``Ini bukan masalah tutup atau buka Proton, kerana di sini terlibat soal jenama Proton, kewangan negara dan permit import (AP).

``Pada pendapat saya, satu kajian secara menyeluruh harus dilakukan sebelum sesuatu keputusan itu dibuat. Proton merupakan aset terbesar negara,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam yang secara sinis berkata Proton perlu ditutup jika rakyat menganggap ia tidak berdaya saing sehingga membebankan negara dan menyumbang kepada harga kereta yang tinggi di negara ini.

Dr. Mahathir memberikan reaksi demikian ekoran kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Shahrir Samad bahawa Proton harus ditutup sekiranya industri kereta nasional yang telah beroperasi lebih 20 tahun tersebut masih gagal memenuhi piawaian kualiti antarabangsa serta tidak mampu dieksport ke luar negara.

Penganalisis ekonomi, Dr. Nungsari Ahmad Radhi pula berkata, antara langkah yang boleh diambil dalam menangani isu berkaitan Proton termasuk mencari rakan kongsi, merombak pengurusan atasan dan mengguna pakai teknologi yang dijalankan secara usaha sama.

``Proton sudah beroperasi sejak 20 tahun lalu dan isu tutup bukan satu kemungkinan yang semestinya berlaku kerana kita mempunyai pelbagai alternatif lain untuk mempertahankannya.

``Kalau saham Proton dijual kepada syarikat besar sekalipun saya pasti ia tidak akan ditutup,'' katanya.

Dr. Nungsari berkata, pelbagai pihak yang terbabit dalam isu Proton perlu menyelesaikannya secara rasio-nal supaya tanggapan bahawa Proton sememangnya gagal bersaing dan tidak perlu dilindungi dapat dihapuskan.

Seorang lagi penganalisis ekonomi, Dr. Hamzaid Yahya turut mahu Proton dipertahankan dan antara langkah yang perlu diambil ialah mengurangkan kemasukan kereta import.

``Saya bersetuju dengan pandangan seorang ahli Parlimen supaya kereta yang mempunyai kapasiti 2000 cc ke atas sahaja dibenarkan masuk untuk menjaga kepentingan kereta nasional dan itu yang sebaiknya,'' katanya.

Malah katanya, Proton juga perlu memastikan vendor-vendor tempatan melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk meningkatkan kualiti produk yang dikeluarkan ekoran terlalu banyak rungutan yang didengar mengenai Proton.

``Vendor tempatan perlu buat R&D bagi menjamin kereta Proton berkualiti tinggi sebab itu kita dapati tiada peningkatan dalam mutunya,'' katanya.

Hamzaid memberitahu, jika Proton ditutup masalah pengangguran akan timbul terutamanya di kalangan bumiputera dan negara akan mengalami kerugian.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Jamaliah Taib berkata, Proton perlu lebih agresif dalam meningkatkan kecekapan tanpa meletakkannya sebagai syarikat yang dilindungi kerajaan.

``Proton juga perlu mengeluarkan model-model baru, meningkatkan kualiti pembuatan dan mengurangkan kos supaya lebih kompetitif dan setanding dengan kereta import.

``R&D juga perlu supaya Proton boleh membuat bebe-rapa pembaharuan dalam menghasilkan model baru dan ia benar-benar memenuhi permintaan serta cita rasa peminat kereta tempatan.

``Pengubahsuaian yang melibatkan kapasiti, reka bentuk luaran serta dalaman yang lebih menarik perlu bagi memberi lebih keselesaan dan tarikan kepada pengguna,'' katanya.
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=1019&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

10/20/2005 05:56:00 PM  
Anonymous Anonymous said...

`Kenyataan saya bertujuan baiki prestasi Proton'

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Shahrir Abd. Samad berkata, beliau tidak bermaksud mahukan Proton Holdings Berhad (Proton) ditutup tetapi kenyataannya bertujuan untuk memperbaiki prestasi syarikat kereta nasional itu.

Katanya, Proton merupakan satu jenama yang perlu dipertahankan bukan sahaja di Malaysia tetapi di serata dunia melalui strategi yang betul.

``Saya tidak cakap Proton perlu ditutup, tidak timbul langsung. Sebaliknya saya mahu kereta keluaran Proton lebih berkualiti, murah, berdaya saing, boleh dieksport dan setaraf dengan kereta import,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Proton perlu ditutup jika rakyat menganggap ia tidak berdaya saing sehingga membebankan negara dan menyumbang kepada harga kereta yang tinggi di negara ini.

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, pihak pengurusan Proton perlu melihat dan mengambil kira semua pandangan orang ramai berhubung kedudukan serta prestasi terkini kereta nasional itu demi kepentingan masa depan industri automotif negara.

Sabtu lalu, Shahrir berkata, Proton harus ditutup sekiranya industri kereta nasional yang telah beroperasi lebih 20 tahun tersebut masih gagal memenuhi piawaian kualiti antarabangsa serta tidak mampu dieksport ke luar negara.

Beliau berkata, kereta keluaran Proton yang menggunakan hampir 90 peratus komponen tempatan tidak memberi sebarang kesan kerana harga kenderaan keluarannya masih tinggi dan tidak kompetitif berbanding kereta import.

Bagaimanapun Shahrir hari menjelaskan bahawa, kenyataan yang dibuat oleh beliau itu bertujuan menjaga kepentingan Proton berdasarkan kehendak pengguna dan selaras dengan kerangka Dasar Automotif Negara (NAP).

Katanya, Proton tidak boleh terikat dengan apa yang diamalkan sekarang termasuk program vendor yang terlalu bergantung kepada subsidi.

``Sudah 20 tahun, mereka (vendor) tetap tidak berubah, sebaliknya hanya menjejaskan kualiti Proton,'' jelasnya.

Menurut beliau, berdasarkan kajian oleh syarikat Jerman ke atas sekumpulan vendor Proton mendapati, ramai tidak memenuhi piawai antarabangsa dengan hanya mendapat markah C dan D sahaja.

``Mereka ini perlu dibuang,'' tegas beliau sambil menambah subsidi ke atas vendor juga tidak sewajarnya diteruskan kerana ia menyebabkan harga Proton mahal.

Shahrir berkata, untuk lebih berdaya saing harga kereta nasional itu perlu lebih rendah dan kualiti perlu ditingkatkan tanpa terlalu memenuhi tuntutan 90 peratus komponen tempatan.

``Apa yang saya katakan, Proton yang menggunakan hampir 90 peratus komponen tempatan tidak memberi sebarang kesan kerana harga kenderaan keluarannya masih tinggi dan tidak kompetitif berbanding kereta import.

``Penggunaan 40 peratus komponen tempatan bagi setiap kereta Proton cukup untuk membolehkan harga kenderaan itu bersaing dalam Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) khususnya bagi menawarkan harga yang kompetitif serta mampu dibeli oleh rakyat tempatan.

``Kalau barang itu barang Siam sekali pun, kita boleh ambil selagi ia boleh tingkatkan kualiti Proton,'' kata beliau.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=1019&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_07.htm

10/20/2005 06:32:00 PM  

Post a Comment

<< Home