Monday, August 14, 2006

...

Tun,
jom ngeteh...
:-)

“Budaya politik dalam...”


1 Comments:

Blogger spyz said...

“Budaya politik dalam UMNO ini bukan baru”

Bagaimanakah penerimaan ahli-ahli UMNO terhadap isu ini secara keseluruhannya?

RADZI: Mereka keliru. Mereka melihat Tun sebagai orang yang sangat mereka kagumi dan tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku. Saya sendiri tidak tahu kenapa Tun buat semua ini. Apakah negara ditadbir dengan terlalu buruk sekarang? Apakah Pak Lah terlalu korup sehingga anak dan menantunya mengaut semua benda?

Kalau kita mahu mengenali Pak Lah, bacalah semula puisinya, Kucari Damai Abadi. Itulah Pak Lah. Rakyat pun tahu, dan kerana itulah mereka memberikan keyakinan kepada beliau (dalam pilihan raya). Apatah lagi selepas itu Pak Lah menegaskan kepada rakyat supaya jangan bekerja untuk dia tetapi bekerja bersamanya.

Cuma stailnya berbeza, tidak sama macam Tun. Semasa Tun mengambil alih kepimpinan daripada Tun Hussein Onn sebelum ini pun begitu juga. Allahyarham berkecil hati, dan akhirnya berlawan juga dengan Tun. Tunku Abdul Rahman (dengan Tun Abdul Razak) dulu pun serupa juga.

Adakah perkara ini berlaku disebabkan Tun merasakan beliau dipinggirkan? Walaupun beliau kata beliau tidak mahu terlibat dalam pentadbiran tetapi sedikit sebanyak idea dan buah fikirannya masih boleh dirujuk untuk pembangunan negara.

RADZI: Mungkin juga. Kita jangan salah faham dan kata beliau diketepikan. Kita beri beliau pelbagai kemudahan – pengawal peribadi, kereta, pejabat dan pada masa yang sama, dilantik sebagai penasihat beberapa syarikat dan agensi milik kerajaan.

Tetapi mungkin juga kerana orang terlupa hendak rapat dengannya, pergi (ziarah) berbual-bual dan minum teh bersama... maksud saya menteri-menteri yang kanan.

Kenapa jadi begitu?

RADZI: Kalau kita renung semula, mungkin ini satu kesilapan dan inilah yang menjadi bibit-bibit rasa tidak senang hatinya itu. Saya boleh faham apa yang dirasakan oleh Tun itu. Ayah saya dahulu pernah jadi Menteri Besar Perlis selama 12 tahun (pada tahun 1960-an). Apabila berhenti, beliau rasa sunyi.

Kadang-kadang beliau naik kereta dengan pemandunya, berhenti di sekolah dan merungut kepada guru besar tentang keadaan bangunan sekolah. Beliau selalu rasa mahu terlibat. Jadi saya boleh faham mungkin itu agaknya yang Tun rasakan.

Tun biasa memimpin selama 22 tahun. Dalam tempoh itu, beliau buat apa yang beliau suka dan tiba-tiba kuasa itu tiada. Selepas itu, tiada siapa pula yang datang berjumpa dengannya bertanyakan pendapat dan sebagainya. Orang pula asyik bercakap tentang Pak Lah dan stail kepimpinan mereka yang berbeza – tentulah beliau berasa kecil hati.

Adakah ini ada kaitannya dengan budaya politik dalam parti?

RADZI: Mungkin kerana kita tidak biasa menerima seorang pemimpin yang duduk begitu lama; pemimpin lain biasanya sekejap saja. Apabila beliau berhenti, kita pun terlupa kepadanya. Mungkin, saya kata mungkin.

Tetapi budaya UMNO memang begitu. Kalau hari ini seseorang itu berhenti daripada menjadi wakil rakyat, orang akan terus lupa – dalam senarai protokol pun tidak ada lagi.

Saya sendiri pun harus terima keadaan ini. Sekarang tidak mengapalah kerana saya seorang menteri dan kebetulan pula jadi setiausaha agung parti tetapi suatu hari nanti, saya akan melalui hal yang sama. Saya pernah melaluinya sebelum ini, sebagai seorang yang pernah duduk di dalam dan di luar kerajaan. Masa itu kalau saya pergi ke pejabat pos, kerani pos pun tidak kenal saya. Saya sudah melaluinya, dan saya menerima keadaan itu.

Tun sendiri dalam beberapa ucapannya ada menyebut tentang budaya politik baru dalam parti. Apa budaya itu?

RADZI: UMNO memang begitu. Jangan kata sekarang, dahulu pun memang begitu. Semasa saya dalam Team B, orang tidak berani berjumpa saya. Kalau nak berjumpa di rumah, mereka takut hendak datang – jauh-jauh malam baru datang kerana takut orang tengok.

Ini memang budaya UMNO, bukan baru ini saja. Semasa zaman Tun dulu pun begitu. Saya sendiri ada pengalaman. Siapa pun tidak berani hendak berjumpa, bercakap dengan kita pun takut juga kalau kita sudah tidak ada jawatan.

Apakah budaya ini diterapkan?

RADZI: Ini bukan budaya yang diterapkan tetapi budaya semula jadi.

Bagaimana hendak mengatasi budaya ini?

RADZI: Perangai manusia itu sendirilah yang harus dibetulkan, tunjuk sifat yang baik. Saya sendiri kalau kenangkan apa yang orang buat kepada saya dulu, saya boleh action dengan semua orang. Tetapi saya tidak mahu kerana mengenangkan nama baik ayah saya dan telah lama dalam politik, saya layan jugalah semua.

Pak Lah sendiri pun begitu juga. Suatu masa dulu, semasa Pak Lah tiada jawatan dalam parti selepas kalah dalam pemilihan Naib Presiden, tiada sesiapa pun yang kisahkan beliau.

Apakah budaya itu sekarang ini dikukuhkan dengan pelbagai arahan yang datang dari pejabat UMNO mengenai jemputan terhadap Tun?

RADZI: Tidak, itu bukan arahan. Saya cuma memperingatkan bahagian-bahagian apa yang sepatutnya mereka buat apabila bermesyuarat. Ini peringatan yang biasa kita lakukan setiap kali tiba waktu mesyuarat.

Keputusan itu pun (tidak boleh menjemput pemimpin selain daripada ahli Majlis Tertinggi dan menteri Kabinet untuk merasmikan mesyuarat bahagian) bukan saya yang buat tetapi sudah ada semasa zaman Tun lagi. Pada musim pemilihan, hanya ketua bahagian yang boleh merasmikan.

Dalam keadaan sekarang ini, bagaimana?

RADZI: Ia terbuka kepada ahli MT dan semua menteri Kabinet, bukan terhad kepada menteri daripada UMNO saja. Ini tidak ada dalam perlembagaan tetapi hanya satu peraturan yang dibuat oleh MT.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0813&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_03.htm&arc=hive

8/14/2006 01:17:00 PM  

Post a Comment

<< Home