Wednesday, August 16, 2006

gub gub gub...

sekarang aku tau kenapa dia gelabah.
dia lupa guna silkycare
:-P


6 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Gubra ulangi kejayaan Sepet
Oleh ABD. AZIZ ITAR dan MOHAMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

PENGARAH Yasmin Ahmad membuktikan bahawa filem-filem arahannya mempunyai tarikan yang tersendiri bukan sahaja pada mata para penonton tetapi juga di kalangan panel juri profesional.

Biarpun sebelum ini filem arahannya, Gubra, pernah menimbulkan kontroversi kerana membabitkan sensitiviti agama dan budaya Melayu tetapi isu itu tidak menghalang filem itu memenangi kategori Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19) yang berakhir malam kelmarin.

Lima juri profesional yang mengadili filem-filem yang dipertandingkan pada FFM19 sepakat memilih Gubra sebagai Filem Terbaik dan sekali gus mengetepikan 22 filem lain yang turut bertanding.

Ini bukanlah kemenangan pertama Yasmin, sebaliknya tahun lalu filem arahannya, Sepet, juga diangkat sebagai Filem Terbaik pada FFM18.

Sama seperti Gubra, Sepet pernah mencetuskan kontroversi pada tahun lalu apabila memaparkan adegan berkemban yang dikatakan mencemarkan budaya masyarakat Melayu.

Bagaimanapun, sebagai pengarah dan penggiat filem yang dilihat mahu bebas meluahkan karya dan pengalamannya di layar perak, Yasmin tidak menoleh ke belakang.

Buah tangan terbarunya, Mukhsin, akan ditayangkan tidak lama lagi.

“Saya sebenarnya terperanjat atas kemenangan ini. Saya tidak sangka Gubra akan menang. Tetapi saya tahu ibu bapa saya banyak berdoa untuk saya dan rajin berpuasa setiap kali filem-filem saya dipertandingkan,’’ kata Yasmin sewaktu ditemui sejurus berakhirnya FFM19 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Ramai yang meramalkan kemenangan Gubra pada festival itu biarpun filem Pontianak Harum Sundal Malam 2 yang menerima pencalonan kategori terbanyak (14 daripada 18 kategori pencalonan) dilihat sebagai saingan paling sengit.

Biarpun Gubra cuma mendapat 11 kategori pencalonan, tetapi filem terbitan Nusanbakti Corporation Sdn. Bhd. itu telah memenangi empat kategori sekali gus merangkul anugerah paling banyak pada Malam Anugerah itu.

Ini jelas membuktikan filem yang menerima pencalonan kategori terbanyak tidak semestinya boleh muncul sebagai Filem Terbaik.

FFM19 menampilkan banyak kelainan berbanding festival-festival sebelum ini terutama dengan penerimaan pencalonan dua filem bukan Melayu iaitu The 3rd. Generation (Cina) dan Ethirkaalam (Tamil).

Ternyata The 3rd. Generation menimbulkan kejutan apabila filem itu mengungguli tiga anugerah melalui kategori Pereka Kostum/Busana Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Pelakon Harapan Terbaik (Carmen Soo).

Kemenangan filem Cina itu pula seakan memberi isyarat bahawa kredibiliti filem bukan Melayu tempatan juga mampu memberi saingan yang kuat jika mereka diberi ruang yang luas dalam festival tersebut.

Selain itu, festival filem kali ini juga memberi kelonggaran bertanding kepada filem-filem yang belum ditayangkan di pawagam-pawagam.

Filem Bilut dan Diva Popular, misalnya, merupakan filem yang belum ditayangkan kepada umum semasa ia dipertandingkan pada FFM19.

Fenomena itu sedikit sebanyak memberi kesan baik dan buruk kepada dua filem tersebut terutama apabila ia ditayangkan kelak.

Persepsi dan promosi yang baik mungkin akan berganda sekiranya filem-filem itu mengungguli anugerah pada Malam Anugerah itu.

Dalam hal ini, Bilut mungkin bernasib baik kerana berjaya memenangi kategori Skor Muzik Asal Terbaik FFM19 berbanding Diva yang langsung tidak memenangi sebarang anugerah.

Sementara itu, empat kategori baru yang diwujudkan iaitu Filem Popular, Pelakon Lelaki Popular, Pelakon Wanita Popular dan Lagu Tema Popular hasil undian khidmat pesanan ringkas penonton (SMS) pula dilihat tidak banyak membantu mengangkat martabat festival itu ke satu mercu yang lebih berprestij.

Kewujudan anugerah itu sekadar memeriahkan sahaja acara festival selain menjadi kayu ukur sejauh mana popularnya empat kategori itu pada mata pengundi.

Apa pun festival yang diacarakan oleh AC Mizal dan Linda Onn itu berlangsung dengan suasana yang meriah walaupun adakalanya sistem bunyi kurang memuaskan.

Apatah lagi apabila ada penyanyi seperti Ella yang sekadar menyanyikan lagu popularnya berjudul Teruja secara miming. Ia menghambarkan lagi acara selingan pada festival itu.

Ramai juga yang mempertikaikan kemunculan pengacara Aznil Nawawi dalam segmen yang menggambarkan suasana belakang tabir penyanyi yang menyanyikan lagu-lagu latar.

Penampilan suara Aznil bukan sahaja sumbang tetapi pengacara Akademi Fantasia itu mungkin boleh melupakan sahaja suaranya yang belum mantap biarpun untuk sekadar menjadi penyanyi di balik tabir.

Pada malam itu artis-artis yang mengadakan persembahan antaranya ialah Misha Omar menerusi lagu Ku Seru, Mawi (Hanya Untukmu), Cat Farish (Cahaya Atas Tar), Ning Baizura (Wajah Rahsia Hati), Zahid AF2 (Tanda Kasih) dan Faizal AF4 (Pelangi Petang).

Kontroversi

Mengimbas semula pembabitan Yasmin Ahmad dalam dunia pengarahan filem terutama dalam festival filem tempatan ataupun di luar negara, penerbit itu pernah mencetuskan beberapa kontroversi.

Pengarah yang berkelulusan ijazah dalam bidang psikologi dari United Kingdom itu, misalnya, pernah menolak penyertaan filem Sepet dalam Festival Filem Asia Pasifik ke-50 (FFAP50) yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun lalu.

Yasmin mengambil keputusan itu selepas kemenangan Sepet muncul sebagai Filem Terbaik FFM18 dipertikai serta diperkecilkan oleh segelintir pihak.

Beliau pernah berkata syurga terletak di telapak kaki ibunya dan ketaatan itu lebih utama daripada menyertai FFAP50 walaupun didesak oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

“Syurga bukan terletak di bawah kaki menteri,” katanya.

Malah, pengarah yang gemar makan goreng pisang bercicah sambal belacan itu juga teruk menerima kritikan daripada media massa yang kurang setuju dengan pendekatannya dalam menghasilkan sesebuah filem yang kononnya dikatakan kurang sesuai dengan aspirasi masyarakat Melayu.

Khabarnya Yasmin menitiskan air matanya ketika mengarah filem Gubra kerana kritikan-kritikan yang dilemparkan kepadanya.

Namun, sebagai pengarah yang tabah dan tahu hala tujunya berkarya demi memajmukkan masyarakat Malaysia berbilang bangsa dalam satu wadah filem, dia mengambil sikap berdiam diri.

Hasil kesabaran dan kontroversi yang timbul itu secara tidak langsung telah merangsang sikap ingin tahu para audiens tentang karya yang ingin dibentangkan olehnya.

Biarpun kontroversi demi kontroversi timbul tetapi satu demi satu filem arahan Yasmin mendapat perhatian para penonton dan juga juri festival filem yang disertainya.

Mungkinkah filem terbaru arahan Yasmin berjudul Mukhsin yang akan ditayangkan tidak lama lagi juga akan mengikut jejak langkah Sepet dan Gubra?

Tetapi seperti kata Yasmin dia sedikit pun tidak berniat mengundang kontroversi tetapi secara tidak langsung kontroversi itulah yang mempopularkan dan mengangkat filem-filemnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm

8/16/2006 07:48:00 PM  
Anonymous Anonymous said...

Sharifah Amani mohon maaf

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 (FFM19), Sharifah Amani memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana perbuatannya memperlekehkan bahasa Melayu semasa berucap selepas menerima anugerah itu, kelmarin.

Menurut beliau, ungkapan maaf itu ditujukan terutamanya kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan penganjur FFM19 yang jelas tersinggung dengan sikapnya itu.

Menurutnya, dia sama sekali tidak berniat untuk menyakiti hati sesiapa atau bersikap kurang ajar.

‘‘Tuhan nak tunjuk. Dia bagi rezeki dan tidak sampai 15 minit saya pegang trofi, Dia bagi dugaan pula.

‘‘Saya harap perkara ini selesai. Saya masih muda dan baru berumur 20 tahun. Apa pun, baik dan buruk yang terjadi, menjadi pengajaran kepada saya pada masa depan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Malam Ahad lalu, Sharifah Amani mengeluarkan kenyataan yang memperlekehkan bahasa Melayu ketika berucap sebaik sahaja menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik FFM19 kerana lakonannya dalam filem Gubra.

Antara isi ucapan Sharifah Amani: ‘‘I sound like stupid if I speak in Malay’’ (Saya rasa seperti orang bodoh kalau saya bercakap dalam bahasa Melayu).

Ucapannya itu menimbulkan rasa kurang senang sebilangan besar khusus orang Melayu termasuk tetamu kehormat majlis itu Rais Yatim.

Lebih memeranjatkan khalayak pada malam itu ialah apabila Sharifah Amani mengakhiri ucapannya dengan berkata:

‘‘If the film (Gubra) mencemar budaya, let’s do it more often (Jika filem ini (Gubra) mencemar budaya, mari kita hasilkan lebih banyak lagi).’’

Sharifah Amani yang berada di Kuching, Sarawak kerana menjalani penggambaran filem Tossessed berkata, hanya Allah sahaja yang tahu isi hatinya ketika mengeluarkan kenyataan itu.

‘‘Sebenarnya saya memang gabra ketika di atas pentas kerana tidak menyangka akan menang. Ramai yang ramal Maya Karin menang.

‘‘Sebelum saya cakap bahasa Melayu yang sering diguna pakai oleh remaja (bahasa rojak) pada majlis rasmi sebegitu, lebih baik saya bercakap dalam bahasa Inggeris,’’ katanya.

Sharifah Amani berkata, jika dia bercakap dalam bahasa Melayu juga, dia kena memikirkan untuk mengatur dan mengolah ayatnya terlebih dahulu.

‘‘Lagipun saya mengejar masa kerana diberi hanya 20 saat sahaja untuk berucap.

‘‘Lagipun saya lebih selesa bercakap dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa rutin di rumah untuk meluahkan isi hati saya,’’ katanya.

Mengulas ucapan akhirnya, jelas Sharifah Amani, dia bukan bermaksud mahu menggalakkan penghasilan filem yang mencemar budaya.

Sebaliknya, dia ingin melihat lebih banyak filem bermutu diterbitkan walaupun Gubra yang diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) pernah dilabel sebagai mencemar budaya.

‘‘Maksud saya ialah kita perlu terus menerbitkan filem berkualiti,’’ katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm

8/16/2006 07:56:00 PM  
Anonymous Anonymous said...

FFM19: Usah lupa asal-usul

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

DI MANA bumi dipijak di situ langit dijunjung. Biar mati anak jangan mati adat. Itulah pegangan kuat masyarakat Melayu pada adat resam dan budaya yang menjadi kebanggaan sejak zaman-berzaman.

Namun, generasi kini terlalu ghairah sehingga melupakan asal-usul. Mengejar kemajuan tidak bererti kita perlu melupakan adat ketimuran.

Begitulah luahan hati Pemangku Presiden Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ruhani Abdul Rahman, mengenai kontroversi yang dicetuskan Sharifah Amani.

Pada Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Ahad lalu, Sharifah Amani yang menang Pelakon Wanita Terbaik FFM19 mengungkapkan, ‘I sound stupid if I sepak Malay, so I will make my speech in English’.

Menambahkan lagi insiden yang menjatuhkan maruah bangsa dan bahasa Melayu itu, dia menamatkan ucapannya dengan kata-kata ‘lets do it more often filem yang mencemarkan budaya Melayu’.

Kenyataan Sharifah Amani itu juga mencetuskan kemarahan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWA), Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang hadir pada FFM19.

Dr Rais semalam berkata, beliau tidak boleh memaafkan Sharifah Amani kerana sanggup melanyak bahasa dan bangsa sendiri.

Menurut Ruhani, tiada apa yang dapat dilakukan kerana perkara itu sudah terjadi.

“Tetapi, apa yang dilakukan Sharifah Amani merosakkan majlis. Majlis FFM19 berjalan lancar sehinggalah dia mengeluarkan perkataan yang menyinggung perasaan orang lain.

“Sekiranya dia terlalu gembira sekali pun dengan kemenangan itu, dia perlu fikir dulu. Kalau hendak katakan dia muda, bahasa yang dikeluarkan itu berbisa juga.

“Selain isu bahasa, dia sentuh isu filem yang menurutnya selepas ini boleh buat banyak lagi filem yang mencemar budaya Melayu. Dia perlu menghormati perasaan orang lain.

“Kalau sesiapa mahu buat filem seperti itu, buatlah. Tetapi tak perlulah bercakap begitu depan khalayak ramai. Jangan fikirkan filem masing-masing kerana industri perfileman adalah hak bersama,” katanya.

Tambahnya, bukan hak Sharifah Amani untuk menilai filem orang lain. Menurut Ruhani lagi, apabila dia mengeluarkan kenyataan sebegitu ia menunjukkan seperti penggiat seni tidak bersatu.

“Saya berasa susah hati apabila menteri marah. Lebih baik dia minta maaf dengan menteri. Saya juga kecewa selepas bekerja keras menganjurkan FFM19, perkara macam ini terjadi.

“Nampaknya pada FFM akan datang, kita perlu beri taklimat kepada lima calon terbaik supaya tidak memalukan diri sendiri dan orang lain. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kalau pada masa akan datang kementerian kata pemenang tak boleh beri ucapan, apa boleh kita buat.

“KeKKWA sedang mempertingkatkan bahasa Melayu, jadi kita harus menghormati kementerian yang menjaga kepentingan perfileman dan bahasa Melayu. Lain kali berwaspadalah bila berkata-kata,” katanya.

Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof, pula berkata kita perlu menghormati majlis kerana kalau kita sendiri tidak menghormatinya siapa lagi.

“FFM adalah festival filem kita. Justeru, kita perlu tahu tanggungjawab kita. Apatah bila dah menang anugerah, orang akan lihat cara bercakap dan budi bahasa kita.

“Yang melihat kita di bawah (pentas) adalah orang veteran. Menteri pun ada sama dan kita perlu menghormatinya. Kehadirannya pada FFM satu penghargaan buat anak seni.

“Saya rasa tidak seronok dengan apa yang terjadi. Sebagai artis kita perlu bijak meletakkan diri dalam sebarang situasi. Saya berharap perkara ini tidak berlaku lagi.

“Soal yang bercakap itu tua atau muda tidak timbul. Dia dah terima anugerah dan akan jadi contoh. Bila jadi macam ini, nama ibu dia pun terkait sama.

“Saya pun biasa muda. Takut sampai pada satu peringkat kita kesal dengan diri kita sendiri. Kadangkala peluang menerima anugerah sebegitu hanya datang sekali dalam hidup,” katanya.

Pakar bahasa, Profesor Dr Nik Safiah Karim, berkata dia setuju dengan pandangan Dr Rais. “FFM sebuah majlis besar yang ditonton sebilangan besar masyarakat. Apabila ada pihak tidak menghormati bahasa kebangsaan, ia amat menyedihkan.

“Jika kita tidak menghormati bahasa sendiri, macam mana kita mahu mengharapkan orang lain menghormatinya (bahasa Melayu). Golongan muda patut pandang serius pada bahasa Melayu kerana ia lambang jati diri bangsa.

“Saya tidak marah Sharifah Amani, tetapi saya sedih dengan sikapnya. Semoga insiden itu tidak berulang lagi.

“Kalau sedang gembira sekalipun, jangan abaikan bahasa ibunda. Saya harap pada masa akan datang jika dia naik pentas lagi berhati-hati. Dia masih muda dan ada banyak lagi situasi lain yang perlu dihadapi.

“Dr Rais bertutur dalam bahasa yang sangat indah sesuai dengan jawatan yang digalasnya. Pastinya dia sedih jika orang Melayu malu berbahasa Melayu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/HM/Wednesday/Bintang/20060816091159/Article/indexm_html

8/16/2006 07:58:00 PM  
Anonymous Anonymous said...

Pemuda, puteri Umno tuntut Amani mohon maaf
16-08-2006 11:04:05 AM

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Wilayah Persekutuan hari ini menuntut pelakon Sharifah Amani memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia atas kenyataannya ketika berucap pada Festival Filem Malaysia Ahad lepas.

Sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai biadap, ketua keduadua pergerakan itu, Datuk Mohamad Norza Zakaria dan Azlinda Mohd Rashad berkata pelakon yang memenangi anugerah pelakon wanita terbaik pada festival itu juga perlu berjanji tidak akan mengulanginya pada masa akan datang.

Mereka berkata jika pelakon itu gagal melakukan perkara itu, tindakan menarik balik anugerah berkenaan harus dilakukan sebagai pengajaran kepada Sharifah Amani dan insan seni lain agar tidak semudahnya memperlekehkan bahasa dan budaya kebangsaan sendiri.

"Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Wilayah Persekutuan berasa sungguh kesal dan kecewa atas kenyataan yang dikeluarkan oleh penerima Anugerah Pelakon Wanita Terbaik festival itu," kata mereka dalam kenyataan yang dikeluarkan bersama, di sini hari ini.

Pada festival itu, Sharifah Amani ketika diberi peluang membuat ucapan sebaik sahaja menerima anugerah itu kerana lakonannya dalam filem Gubra berkata: "I sound like stupid if I speak in Malay" (Saya rasa seperti orang bodoh kalau saya bercakap dalam Bahasa Melayu).

Mohamad Norza dan Azlinda berkata kenyataan itu merupakan satu penghinaan terhadap Bahasa Melayu dan disifatkan sebagai membelakangkan bahasa ibundanya sendiri.

"Dalam isu ini jelas menunjukkan bahawa Sharifah Amani telah gagal sebagai seorang warganegara Malaysia yang menghayati sepenuhnya prinsip-prinsip Rukunegara," kata mereka. BERNAMA

http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_14ef87dc-c0a85062-1eafe130-a272cf8f

8/16/2006 08:18:00 PM  
Anonymous Anonymous said...

Salahkah Amani berterus terang?
16-08-2006 01:12:33 PM
Oleh Zieman

Apabila luahan rasa Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19) Sharifah Amani disalahtafsirkan oleh ramai orang termasuk Pak Menteri sendiri maka bermacam-macam persepsi, tangkapan dan reaksi timbul terhadap pengakuan jujur Amani itu.

Kenyataan Amani yang telah menimbulkan prejudis ramai pihak yang tiba-tiba saja ‘terasa’ kerana sentimen ‘bahasa Melayu’ adalah seperti berikut: “Jika saya bercakap dalam bahasa Melayu, saya akan nampak bodoh dan saya lebih senang berbahasa Inggeris" dan “Jika membuat filem sebegini (Gubra) dianggap mencemar budaya, lets do it more often."

Ungkapan spontan yang diluahkan oleh anak gadis pelakon Fatimah Abu Bakar yang baru berusia 20 tahun ini juga telah turut menarik minat dan menimbulkan reaksi yang berbeza dikalangan artis seperjuangannya.

Kenyataan-kenyataan yang ‘lebih sudu dari kuah’ dan telah berjaya menaikkan sentimen dan amarah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan pihak media termasuk apabila Arash Mohamad (pelakon yang sudah lama menyepi) telah memanggil ‘sidang media ekslusif’ untuk melepaskan geram pada Amani.

Arash yang menganggap Amani lupa diri dilaporkan telah bertindak emosional dengan menghentakan kakinya dan berkata ‘perkara seperti ini tidak pernah berlaku sejak 19 kali FMM diadakan.”

Pengacara dan pelakon Maznah Zulkifli nampaknya turut mahu tumpang glamor dengan melahirkan kekecewaannya, begitu juga AC Mizal dan penerbit kontroversi Raja Azmi.
Menurut Raja Azmi, insiden ‘mulut lepas’ Amani “memalukan dan saya kasihan dengan ibu Amani, Fatimah kerana saya amat menghormatinya.”

Kontroversi ini boleh reda sekiranya pihak media tidak melaga-lagakan Sharifah Amani dan Rais. Sepatutnya, media bertindak sebagai mediator dan bukan sebagai ‘batu api’ yang memanaskan lagi isu ini.

Kenapa perlu ‘melatah’ dengan keterbukaan kenyataan Amani? Dan kenapa kita perlu bersikap negatif dan dan tidak mahu berfikir apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Amani?

Jadi apa sebenarnya yang tidak kena dengan kenyataan Amani itu? Benarkah ia keterlaluan, biadap atau kurang ajar?

Amani dalam kenyataan membela dirinya berkata, “Apa yang saya maksudkan ialah, jika saya berbahasa Melayu, ia akan terselit pelat utara dan ramai yang tidak akan faham.

"Saya amat gembira apabila memenangi anugerah itu memandangkan ia satu mimpi yang menjadi kenyataan. Saya cuma ambil jalan selamat dan bercakap dalam bahasa Inggeris kerana keluarga saya adalah bilingual," kata adik kepada Sharifah Aleya ini.

Dan mengenai komennya "kalau bikin filem itu mencemarkan budaya, kita harus bikin banyak lagi filem," Amani menjelaskan dia sebenarnya memuji pihak berkuasa kerana dapat menerima babak-babak dan dialog tertentu dan tidak memotongnya.

"Mari kita buat lebih banyak filem seperti ini kerana secara realitinya ia tidak merosakkan imej kita. Jika benar filem tersebut merosakkan imej kita, pihak berkuasa tentunya tidak akan meluluskannya tanpa potongan.

"Maksudnya, selepas bertahun-tahun penapisan, pihak-pihak berkuasa termasuklah Datuk Seri Rais sudah berfikiran terbuka untuk membenarkan kreativiti dalam industri perfileman Malaysia.

"Sebagai contoh, filem Gubra, Pontianak Harum Sundal Malam 2 dan Remp-it telah diluluskan dan turut memenangi anugerah di peringkat antarabangsa. Filem-filem ini menonjolkan kisah yang benar dan ini membenarkan kita memahami diri kita sendiri sebagai rakyat Malaysia," tambahnya.

Rupa-rupanya ramai orang tidak faham ‘cakap berlapik’ Amani ini. Subteks yang cuba disampaikan oleh Amani terlalu ‘susah’ sehingga Rais sendiri tidak dapat tangkap.
Walau apapun yang Amani katakan selepas kontroversi ini, ianya tetap tidak menyenangkan hati Rais.

Jelas sekali, Rais sedih dan kesal dengan apa yang dilihatnya sebagai kejahilan Amani terhadap bahasa ibunda sehingga sanggup mengheret peranan ibu bapa pelakon itu untuk menguatkan kenyataannya.

“Ibu bapanya seharusnya mengajarnya bagaimana untuk bercakap di khalayak ramai. Pengakuan bahawa anda tidak tahu berbahasa Malaysia adalah sesuatu yang memalukan dan ia sungguh tidak sopan," ujar Rais selepas selepas tamat Festival Filem itu.

Tidak perlulah mengheret ibu bapa Amani didalam kontroversi ini. Sebagai aktres yang bertanggungjawab, Amani telah pun menjelaskan perkara yang sebenarnya tetapi berapa ramai yang akan ‘mendengar’ penjelasannya tanpa bersifat prejudis? Pihak media sudah lebih dahulu ‘menghukum’ Amani dengan menyiarkan laporan yang berat sebelah.

Benarkah Rais melabelkan Amani sebagai ‘bintang filem yang perasan’ seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar perdana? Sekiranya label ini tidak benar, ia bagaikan satu ekspolitasi pihak media untuk menghangatkan lagi krisis Amani-Rais ini?

Rata-rata di dalam semua laporan akhbar, Rais hanya mempersoalkan, bagaimana Amani boleh menonjolkan kejahilannya berbahasa Malaysia, sedangkan dia memenangi anugerah tersebut melalui filem lakonannya, Gubra yang dibuat dalam bahasa Malaysia.

Kemuncak kepada kontroversi ini seakan sudah mencapai titik nokhtahnya apabila Rais berkata yang beliau akan melaporkan kepada Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), sekaligus menyerahkan pada badan itu untuk mengambil tindakan yang wajar.
Apakah kesudahan isu ini nanti?

Mungkinkah Amani akan ‘terpaksa’ memohon maaf untuk meredakan ‘ribut di dalam cawan’ ini atau mungkin juga Amani akan mengambil teladan daripada tindakan mentornya, penerbit Yasmin Ahmad yang berani memperjuangkan kejujuran kata-katanya sehingga ke hari ini?

Budaya berterus-terang di dalam masyarakat kita memang tidak pernah digalakkan dan terlalu asing buat kita. Cakap berlapik yang selalu yang diamalkan oleh masyarakat kita sebenarnya mengizinkan ramai orang mengamalkan sifat pura-pura.

Sampai bila kita terpaksa tunduk kepada ‘kebiasaan’ amalan masyarakat yang terpaksa ‘cakap kena berlapik, ‘jangan terlalu celupar’ atau ‘mulut lepas’ untuk menjaga hati orang lain?

Pengkritik tetap AF4, Adlin Aman Ramlie, pernah menjadi ‘mangsa’ keterbukaan yang sedang dialami oleh Amani kini.

Kejujuran Adlin meluahkan rasa hati dan keprihatinannya terhadap Faizal supaya ‘jangan dekati dadah’ dan kebetulan kenyataannya dibuat sesudah Saleem muncul dipentas telah mengakibatkan pihak Astro dan Adlin terpaksa meminta maaf ketika di udara.

http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_109b055b-c0a85062-1eafe130-6dc0cc53

8/16/2006 08:23:00 PM  
Anonymous Anonymous said...

Amani sudah mohon maaf, PFM anggap isu selesai
16-08-2006 04:04:08 PM
Oleh ZIEMAN

PETALING JAYA: Isu ucapan kontroversi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke 19 (FFM-19), Sharifah Amani, dianggap selesai dengan permohonan maaf daripada pelakon berusia 20 tahun itu.

"Dia pun sudah memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan Datuk (Seri Dr) Rais (Yatim) jadi tak perlu lah kita ungkit lagi perkara ini," ujar pemangku Presiden Persatuan Filem Malaysia (PFM) Ruhani Rahman.

Ruhani berkata demikian apabila diminta pandangannya tentang ucapan Amani yang kononnya ‘memperlekehkan’ bahasa Melayu di majlis kemuncak FFM-19 di PWTC Ahad lalu.

Menurut Ruhani lagi, "Keterlanjuran kata-kata yang dikeluarkan oleh Amani pada malam itu mungkin disebabkan faktor dia gabra. Lagipun Amani masih muda. Saya harap Amani akan mengambil iktibar dari episod ini. Semoga ia menjadi satu pengajaran bagi Amani agar lebih berhati-hati apabila menyuarakan pendapatnya di masa hadapan."

Difahamkan, selepas isu ini hangat diperkatakan, Amani telah pun menghantar faks kepada semua media dan juga ke pejabat Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim memohon maaf di atas keterlanjuran kata-katanya yang telah menghiris hati ramai orang Melayu.

Antara isi ucapan Amani yang telah menimbulkan kontroversi yang tidak diundang itu adalah "I would sound stupid if I were to speak in Malay" (Saya akan kedengaran seperti orang bodoh jika saya bercakap dalam bahasa Melayu) dan mengakhiri ucapannya dengan berkata:
"If the film (Gubra) mencemar budaya, let's do it more often (Jika filem Gubra mencemar budaya, mari kita hasilkan lebih banyak lagi).''

Tetamu kehormat malam itu, Dr Rais, jelas cukup tersinggung dengan kata-kata Amani dan menyelar sikap pelakon berbakat ini.

Ketika ditemuramah, Amani melahirkan rasa kesal terhadap insiden yang telah mengheret dia dikecam hebat oleh ramai pihak. Amani dengan rasa rendah hati memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana ucapannya.

"Saya sama sekali tidak berniat untuk menyakiti hati sesiapa atau bersikap kurang ajar. Ini lah dugaan yang paling hebat yang pernah saya alami selama saya bergelar aktres. Ini akan menjadi satu pengajaran pada saya pada masa depan. Saya bersyukur semuanya sudah selesai. Saya masih muda dan banyak lagi yang perlu saya belajar,'' katanya yang kini berada di Kuching, Sarawak untuk menjalani penggambaran sebuah filem.

Menurut Amani lagi, "Hanya Allah sahaja yang tahu isi hati saya ketika mengeluarkan kenyataan itu. Bukan bermaksud menghina bahasa atau menghina sesiapa…"

http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_16023e94-c0a85062-1eafe130-17b17f10

8/17/2006 07:00:00 AM  

Post a Comment

<< Home