Thursday, February 22, 2007

sudi-sudikan...

Alfatehah...


11 Comments:

Blogger Pa'chik said...

dah limebelas tahun kan.. ye ye... al-fatihah utk sudir...

2/23/2007 09:59:00 PM  
Blogger spyz said...

Sudirman masih dalam ingatan!
23-02-2007 12:13:26 PM
Oleh WAHIDA ASRANI

SAYU tatkala melangkah kaki ke banglo dua tingkat milik kakak Allahyarham Sudirman Hj Arshad, Datin Rodziah di Lucky Garden, Bangsar malam tadi.

Jelas kelihatan kelibat-kelibat yang hampir sama setiap tahun untuk satu tujuan iaitu berkumpul bagi meramaikan majlis tahlil buat si jantung hati Malaysia yang telah pun 15 tahun meninggalkan peminat seni tempatan.

Lebih membanggakan, majlis kali ini dihadiri bukan saja daripada kalangan sahabat handai, para media dan peminat malahan jumlah hadirin yang hadir lebih berbanding majlis terdahulu.

Memang tidak dinafikan, biarpun sudah 15 tahun meninggalkan semua, nama Sudirman masih terpahat diingatan khalayak.

Agak terkejut dengan sambutan majlis kali ini, kakak Allahyarham bersyukur dan berterima kasih kepada semua.

“Saya sendiri tak menyangka sambutan orang ramai untuk majlis tahlil kali ini. Sangat-sangat di luar jangkaan saya.

"Saya ingat dah 15 tahun pemergian Allahyarham orang ramai sudah melupai dirinya tapi sangkaan saya nyata salah,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis tahlil tersebut.

Biarpun masih merindui tawa riang adik bongsunya itu, sedikit sebanyak kerinduaannya terubat kala melihat khalayak yang hadir berjemaah bersama dan bertahlil buat Allahyarham.

“Melihat kepada sambutan majlis ini, nyata Diman (nama manja Sudirman) masih dihati dan dikagumi oleh semua pihak.

"Bukannya mudah untuk orang memperingati seseorang yang telah pergi selama 15 tahun. Saya cukup terharu,” katanya lagi.

Majlis bermula sekitar pukul 8 malam dengan sembahyang berjemaah diikuti dengan bacaan tahlil yang diketuai oleh Ustaz Mohd Abu Qatadas Mohd Rusdi.

Tidak cukup dengan itu, kedatangan Mawi juga merupakan satu kejutan yang tidak disangka olehnya. Ini kerana kata Rodziah, dia telah menjemput Mawi untuk menghadiri majlis tersebut pada tahun lalu tetapi Mawi tidak dapat menghadirinya atas sebab tertentu.

Turut menghadiri majlis tersebut Faizal AF4, Yusni Jaafar, Habsah Hassan, Rubiah Suparman, Bob AF, dan Presiden Karyawan Freddie Fernandez dan ramai lagi.

Tambah Rodziah lagi biarpun satu ketika nanti nama Sudirman tidak lagi meniti dibibir-bibir peminat, dia tetap akan merealisasikan impian terindahnya yang hanya satu iaitu ingin mengadakan majlis tahlil setiap tahun sehingga ke akhir hayatnya.

“Biarlah orang dah tak ingat kat Diman, tapi saya tetap akan buat juga majlis tahlil sebegini. Bagi saya dia merupakan permata hati saya yang saya sanjung selamanya,”ujarnya lagi.

Memang tidak dapat dinafikan sumbangan Allahyarham Sudirman kepada industri seni tempatan selama ini begitu banyak.

Namun satu yang tidak dapat dinafikan ialah Allahyarham Sudirman merupakan anugerah terindah yang di miliki oleh industri seni tempatan hari ini esok dan selamanya.

Mawi:

"Saya amat mengagumi Allahyarham dan sehingga hari ini, lagu Salam Terakhir dan Hujan adalah antara lagu kegemaran saya. Bagi saya, jika kita letakkan dia sebagai lagenda, sudah tentu dia akan sentiasa dikenang sehingga bila-bila."

Faizal:

"Bila mendapat jemputan dari ahli keluarga Allahyarham, saya terus terdetik untuk datang ke majlis tahlil ini. Memang tidak pernah bersua muka dengan dia, tapi ini sajalah yang mampu saya lakukan sebagai menghormati dan mengagumi jasa dia di dalam industri muzik."

http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_ec994337-c0a85062-24bef500-d940b783

2/24/2007 11:06:00 AM  
Blogger spyz said...

ohh.. aku baru terjumpa ini..

http://datindiah.fotopages.com/

2/24/2007 11:38:00 AM  
Blogger spyz said...

Nostalgia: Sudirman terus segar dalam ingatan
Oleh Zainuri Misfar

‘The Singing Lawyer’ tetap meninggalkan memori indah kepada peminat hiburan tanah air

TEMPOH 16 tahun mungkin singkat. Walaupun pendek, tetapi Sudirman meninggalkan 15 kenangan indah yang sukar dilupakan peminatnya. Lagu nyanyiannya terus segar hingga hari ini. Ia sudah dianggap sebagai satu warisan, tak lekang dek hujan, tidak lapuk dek hujan.

Dari kemenangannya sebagai Bintang RTM pada 1976 hingga kematiannya pada Februari 1992, beliau meninggalkan pengaruh, jasa, kenangan dan sumbangan yang besar dalam dunia seni, khususnya nyanyian.

Sehingga kini, sebutlah nama Sudirman, hampir semua kaum di negara ini mengenalinya.

Dari seorang pemuda kampung yang pemalu, beliau menjadi penyanyi, peguam, penulis, kartunis, penghibur, pelakon dan usahawan.

Dilahirkan di Temerloh, Pahang pada 1955, memulakan karier dalam seni secara serius pada usia 21 tahun. Sudirman meninggal dunia pada 22 Februari 1992.

Lincah di pentas, semangat patriotik yang kuat dan bangga dengan imej budak kampung adalah ciri-ciri menarik dalam personalitinya. Ini berbeza dengan saiz tubuhnya yang kecil dan rendah iaitu 1.42 meter.

“Saya memang berasa rendah diri dengan ketinggian. Saya tahu, memang nampak teruk apabila berdiri di sebelah DJ Dave. Tapi saya bersyukur kepada Allah. Saya belajar dengan orang Jepun. Walaupun pendek, mereka boleh membawa diri dengan baik,” kata Sudir.

Sudir dikenali dan mudah diterima kerana lagu nyanyiannya mempunyai pelbagai tema. Ada lagu sentimental berkisar kepada alam percintaan hingga membawa kepada berunsur nasihat dan patriotik.

Antara persembahan yang diingati ialah ketika upacara penutup Sukan Sea di Kuala Lumpur pada tahun 1989, apabila beliau muncul dengan pakaian berlatar Jalur Gemilang. Sememangnya beliau selalu menyanyi lagu patriotik dengan penuh megah dan bangga.

Lagu seperti Seruling Gembala, Toyol dan Basikal Tua, walaupun seperti lucu tetapi kaya dengan makna tersendiri.

Begitu juga lagu seperti Penganggur, Punch Card, Pulang Dari Kerja, Chow Kit Road yang bukan saja menghiburkan dan sedap didengar tetapi juga mempunyai mesej.

Pada bulan kemerdekaan, stesen radio kerap memainkan lagu 31 Ogos atau Hormatilah Bendera Kita. Ketika menjelang Hari Raya Puasa, lagu Balik Kampung memeriahkan suasana.

Bagi yang tidak dapat balik kampung, beliau menyanyikan lagu Dari Jauh Ku Pohon Maaf.

Lagu lain yang tidak jemu didengar ialah Di Manakah Nilai Cintamu, Jauh Di Sudut Hati, Salam Terakhir, Kepulanganku, Merisik Khabar, Terasing, Bila Wajahmu Aku Bayangkan, Anak Dagang, Apa Khabar Orang Kampung, Hujan, Warisan dan banyak lagi.

Beliau juga mengabadikan puisi nukilan Allahyarham JM Aziz iaitu Penyu Menangis Siapa Tahu yang sebenarnya bertemakan alam sekitar.

Tidak ketinggalan juga beliau mencipta dan menyanyikan lagu yang ditujukan khusus kepada Allahyarham Puan Sri Saloma berjudul Mama. “Mama (panggilannya kepada Saloma) tidak percaya bila saya membuka mulut meminta kebenaran untuk saya cipta lagu untuknya. Kata Mama, P Ramlee enggan cipta lagu untuknya kerana Saloma adalah miliknya, dan tidak perlu cipta lagu lagi,” kata Sudir pada April 1983.

Biarpun sibuk dan sudah dikenali, beliau masih meluangkan masa untuk belajar vokal dari penyanyi klasik terkenal bernama Florence Fong.

Sepanjang persembahannya, Sudir diiringi band pengiringnya iaitu The Glue, manakala The Girls ialah kumpulan penari yang mengiringinya dan The Giggles pula ialah penyanyi latarnya.

Sebenarnya, terlalu banyak yang boleh diperkatakan mengenai Sudir. Beliau seorang yang menghargai persahabatan. Pada April 1985, semasa hendak membuat persembahan di Sarawak, Sudir mengambil kesempatan melawat Jamal Abdillah di Pusat Pemulihan Dadah Kuching.

Pada tahun 1986, menerusi idea ‘gila-gilanya’, beliau berjaya mengadakan konsert besar-besaran dihadiri 40,000 penonton di Chow Kit.

Apapun, agu nyanyian Sudir memang tidak lekang dek hujan, tidak lapuk dek hujan.

Sudir mula merakamkan suara sebaik saja menjadi juara Bintang RTM 1976 dengan menyanyikan lagu Seruling Bambu dan Cabaret Big Spender nyanyian Liza Minelli.

Walaupun ketika itu sibuk dengan kuliahnya di Universiti Malaya (UM), beliau sempat merakamkan dua lagu untuk dimuatkan dalam EP pertamanya. Lagu itu adalah Teriring Doa dan Suratku Yang Ini dan diterbitkan oleh Warnada Records.

Pada tahun 1977, EMI menawarkan kontrak kepada Sudirman. Album sulungnya dengan EMI berjudul Aku Penghiburmu. Sejak itulah, beliau menghasilkan 20 lagu, termasuk dua album berbahasa Inggeris.

Pada tahun itu juga, beliau dipilih sebagai Penghibur TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa. Pada tahun 1981, beliau bertunang dengan gadis pilihannya, Kamariah Jamaluddin. Mereka berkahwin pada 14 Februari 1981 tetapi bercerai tiga tahun kemudian iaitu 25 Mei 1984.

Sudir terbabit dengan lakonan pada 1982 apabila beliau bersetuju membintangi filem Kami arahan Patrick Yeoh.

Pada 1986, Tourism Malaysia melantiknya sebagai Duta Pelancongan. Sudirman kemudian mempopularkan lagu Cintai Malaysia, Kenali Malaysia semasa Persidangan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) di Kuala Lumpur.

Pada 1989, beliau diundi sebagai Penghibur Terbaik Asia dalam Anugerah Salem Asia yang diadakan di Royal Albert Hall, London. Sudirman menyanyikan lagu One Thousand Smile dan lagu rampaian Smiles dan Send In The Clown.

Lagu One Thousand Smiles dirakamkan dalam bentuk single dan dipasarkan di Eropah. Proses rakaman lagu itu dibuat di Abbey Road Studio, tempat merakamkan album bagi penyanyi megastars seperti The Beatles.

Bagaimanapun, tidak semua yang dilalui Sudir indah belaka. Berita perceraiannya dengan Kamariah Jamaluddin atau Kay pada 25 Mei 1984 mengejutkan peminatnya.

Sahabat baik Allahyarham, Noorkumalasari pernah berkata, suasana malam di rumah Sudir sangat sayu menjelang perpisahan antara mereka.

“Apabila cerai dilafazkan mereka bertangisan. Air mata tidak dapat dibendung,” kata Noor yang menyaksikan sendiri perceraian Sudir dan Kay..

Penulis lirik yang juga sahabat baik Allahyarham, Habsah Hassan sendiri mengakui Sudirman yang dikenalinya ialah seorang berahsia dan suka memendam rasa.

Dalam temu ramah dengan sebuah akhbar pada 1989, Allahyarham Sudirman mengaku mempunyai hanya dua kekecewaan hidup - ketiadaan ibu bapa untuk berkongsi kejayaan dan kegagalan perkahwinannya.

Namun begitu, beliau pernah berkata, “Walau apapun terjadi, bagi Sudir, perjuangan Sudir dalam bidang seni tiada noktahnya. Selagi nadi ini masih berdenyut, selagi peminat masih meminati Sudir, selama itulah Sudir berjuang dalam dunia hiburan.”

Kata-katanya itu bagai dikotakan sehinggalah nadinya berhenti berdenyut di rumah kakaknya di Bangsar, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1992. Beliau meninggal dunia pada usia 37 tahun kerana radang paru-paru. Cuma, peminatnya masih meminati Sudir.

Dan, seolah-olah mengetahui dirinya akan pergi selama-lamanya, Sudir meninggalkan lagu Salam Terakhir yang memberi makna besar kepada peminatnya.

Profil Sudirman

Nama Penuh: Sudirman Haji Arshad

Lahir: 25 Mei 1955

Asal: Temerloh, Pahang

Adik-Beradik: Bongsu dari enam beradik

Pendidikan: Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Abu Bakar, Temerloh, Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar di Kuantan dan Sekolah Menengah Sri Bahagia di Temerloh dan Universiti Malaya (UM).

Akademi: Sarjana Muda Undang-Undang

Profesion: Penghibur, penyanyi, pelakon, usahawan

Album: Teriring Doa (EP) (1977), Aku Penghibur (1978), Perasaan (1979), Anak Muda/Lagu Anak Desa (1980), Lagu Dari Kota/Twinkle Twinkle Little Star (1981), Abadi/Lagu Cinta (1982), Images (1983), Lagu Dari Sebuah Bilik/Orang Baru (1984), Kul It (1986) dan One Thousand Million Smiles (1989).

Filem: Kami (1982)

Penganugerahan: Ahli Mahkota Pahang (AMN), Ahli Mangku Negara

Pencapaian: Juara Bintang RTM 1976; Penghibur Terbaik Anugerah Seri Angkasa (1977), Penyanyi Lelaki Popular 1989, Penghibur Terbaik Nombor Satu Asia (1989).

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Friday/Hiburan/20070223074022/Article/

2/24/2007 12:12:00 PM  
Blogger spyz said...

Epilog: Jasa Sudirman semakin dilupai?
Oleh Akmal Abdullah

HARI ini genap 15 tahun penghibur negara, Allahyarham Sudirman Haji Arshad meninggal dunia. Jenazahnya terus damai bersemadi di Tanah Perkuburan Chengal, Temerloh, Pahang.

Selama pemergiannya kita masih terasa kehilangan dan kerugian yang teramat sangat. Sudirman yang lebih dikenali panggilan Sudir bukan calang-calang penyanyi tetapi dia penghibur rakyat. Dia insan seni unik, jujur, berjiwa besar, berdaya kreatif tinggi, peka dengan kehidupan masyarakatnya dan manusia intelektual, malah arwah seorang berhati mulia, dermawan, penyayang dan berwawasan. Sudir meletakkan perjuangan seni budaya yang tinggi atas nama tanggungjawab sebagai insan seni yang dikurniakan bakat dan kreativiti.

Sudir tidak meraih populariti mudah seperti artis muda kini tetapi namanya menyerlah kerana dia tampil unik dan bijaksana sebagai penghibur menerusi setiap persembahannya yang boleh berkongsi rasa semua kaum - bukan saja Melayu. Jika industri muzik kita kini bersepah penyanyi baru dan lama yang memeriahkan suasana, namun semuanya itu belum layak dianggap penghibur. Sudir mencipta benchmark yang tidak boleh ditandingi penyanyi sekarang. Sudir dianggap ikon anak muda yang wajib dicontohi kerana arwah mempunyai ciri seorang insan bersemangat tinggi, berfikiran positif, pandai akademik, patriotik dan berhemah serta berbudi bahasa.

Tahun demi tahun berlalu, kita terus menghitung lamanya Sudir meninggalkan kita. Hakikatnya, nama Sudir seolah-olah makin dilupai banyak pihak. Sudir belum diiktiraf pada tempat sewajarnya. Jasanya makin dipinggirkan. Sudir dianggap kenangan silam bak angin berlalu. Usaha mengenang arwah kalau ada sekadar ibarat melepaskan batuk di tangga. Sudir masih tidak layak diberi pingat bergelar “Datuk” mahupun “Tan Sri” seperti mana Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee yang menerima gelaran Tan Sri selepas 17 tahun meninggal dunia. Kali terakhir jasa Sudir dikenang ialah cuma menerusi majlis Anugerah Kecapi 2006 anjuran Papita pada Disember lalu yang menganugerahkannya secara rasmi gelaran Penghibur Nasional. Tidak ada usaha meletakkan status mengenang Sudir sebagai tokoh seni suara yang wajar dikenang di peringkat negara. Tidak ada tindakan berkesan mengabadikan nama Sudir secara lebih terhormat selain ada satu jalan di Temerloh mengabadikan namanya dan diberi sedikit ruang pameran dalam Muzium Tokoh Pahang.

Stesen TV juga nampaknya tidak beri perhatian mengimbas Sudir. Seperti segmen memperingati pemergian Sudir tahun ini bersempena 22 Februari, apa diketahui, cuma Astro menerusi Trek Selebriti mengadakan nostalgia mengenai Sudir. RTM tidak berminat. Sepatutnya RTM mewujudkan segmen khas mengenang penghibur nasional ini kerana Sudir adalah anak seni kelahiran RTM sendiri apabila arwah muncul juara Bintang RTM 1976. Apa salahnya, paparan semula persembahan Sudir dulu disiarkan secara terhormat sebagai tanda kenangan. Kerajaan juga nampaknya belum bersedia mewujudkan muzium atau pustaka peringatan khas buat Sudir. Mungkin, jasa Sudir tidak seberapa. Al-Fatihah.

Tak perlu kecoh soal royalti Sudir

ISU royalti lagu Sudir nampaknya terus diperkatakan pihak tertentu sedangkan keluarga Sudir buat tidak kisah dan menyerah kepada pihak diamanahkan untuk menguruskannya. Apa diketahui, isu lama ini sebenarnya bukan misteri kerana semasa hayatnya, Sudir mewasiatkan semua harta miliknya untuk penama tertentu termasuk individu serta sumbangan amal yang diuruskan peguam.

Maka, sudah tentu syarikat rakaman EMI yang memperoleh hasil jualan album Sudir menyalurkannya kepada firman guaman bertanggungjawab. Tidak perlu kecoh mengenang Sudir dengan hanya melihat berapa royaltinya, siapa yang dapat dan siapa yang untung sedangkan kita terus berdiam diri untuk meletakkan nama Sudir pada tahap lebih disanjungi, dihormati dan dikenang sepanjang zaman.

Ada pihak pula mahu menumpang sekaki memperkata isu royalti Sudir tanpa usul periksa sedangkan ahli keluarga terdekat Sudir pun tidak ambil kisah hal ini kerana ada pihak sudah menguruskannya. Tidak perlu tumpang semangkuk perihal kehebatan nama Sudir. Kaji dulu prosedur royalti dikeluarkan dan agihan dibuat. Carilah ruang membantu mengangkat ketokohan dan jasa bakti Sudir. Isu royalti Sudir adalah isu peribadi dan sensitif membabitkan harta pusaka Allahyarham, orang lain tidak wajar campur tangan. Kalau ahli keluarga Sudir tidak berpuas hati, ia boleh dibawa ke mahkamah.

Kata orang, lebih baik mati terhimpun pahala daripada umur panjang dipenuhi dosa dan noda...

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Hiburan/20070222073355/Article/

2/24/2007 12:14:00 PM  
Blogger spyz said...

Memori Sudir: Ibu tiri sebak terkenangkan Allahyarham
Oleh Nurashiqin Omar

Mariam tidak dapat lupakan Sudirman kerana pandai ambil hati.

BIARPUN sudah 15 tahun Sudirman Haji Arshad pulang ke rahmatullah, namun telatah, gelak tawa serta segala kenangan ketika bersama Allahyarham masih tetap segar dalam ingatan ibu tirinya, Mariam Mohammad.

"Sudirman anak yang manja, tidak pernah menyusahkan orang dan sangat pandai mengambil hati saya. Hubungan kami sangat rapat dan saya menyayanginya seperti anak kandung sendiri. Sejak kecil, arwah dah pamerkan bakat sebagai penyanyi dan sering hasrat menjadi bintang hiburan disuarakan kepada saya. Namun, saya melarang kerana ketika itu Allahyarham masih di bangku sekolah," katanya sebak.

Namun, Mariam yang enggan jurugambar Hip merakam fotonya berkata, Sudirman atau lebih mesra dengan panggilan Sudir di kalangan peminatnya mula mengembangkan bakatnya ketika menuntut di Universiti Malaya dengan menyertai pelbagai pertandingan nyanyian. Kemuncak kejayaannya apabila menang Juara Bintang RTM pada 11 Ogos 1976 dan selepas 16 tahun berjasa untuk dunia hiburan, akhirnya Sudir meninggal dunia pada 22 Februari 1992.

"Orang dah tak ada. Mak cik pun tidak buat apa-apa kerja. Mak cik sekarang pun tidak berapa sihat. Mak cik pernah terima kehadiran pegawai dari Muzium Tokoh Kuantan, meminta trofi yang pernah dimenangi arwah untuk dipamerkan di sana," ujar beliau.

Mengenai sumbangan daripada mana-mana persatuan artis dan pembayaran hasil royalti Allahyarham, beliau menjawab, semuanya diuruskan kakak Allahyarham yang berada di Kuala Lumpur.

Beliau kini sudah tidak lagi bergiat aktif dalam mana-mana pertubuhan wanita lebih selesa untuk menjalani kehidupan biasa bersama anaknya, Maslina Arshad, 38, di Kampung Tok Embun, Temerloh. Mariam adalah isteri kepada bapa Sudir yang dikahwininya selepas ibu kandung Sudir meninggal dunia.

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Hiburan/20070222073512/Article/

2/24/2007 12:18:00 PM  
Blogger spyz said...

Memori Sudir: Kenangan pahit, manis
Oleh Zainuri Misfar

Sepanjang kerjaya sebagai penghibur Sudirman tidak sunyi kontroversi, spekulasi dan tanda tanya

SUDIRMAN Haji Arshad atau Sudir dianggap sebagai Pengibur Nombor Satu Tanah Air kerana persembahannya diterima ramai dan diminati pelbagai kaum. Namun, dalam pada itu ramai juga yang mencemuhnya dan sepanjang kariernya beliau beberapa kali berdepan situasi panas apabila segelintir pihak meluahkan rasa marah terhadapnya.

Siapa sangka, ada yang pernah membuat tuduhan kononnya penonton Islam yang hadir melihat konsertnya dianggap kafir. Ini berlaku apabila Sudir menjayakan Konsert Malam Anak Desa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Konsert anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Ekonomi UKM dibantah keras oleh kumpulan pelajar yang menggelarkan diri Angkatan Mahasiswa Bersatu (Atma).

“Apabila ada segelintir manusia yang mengkafirkan pertunjukan saya, dengan hati tenang saya menghadapinya. Saya anggap ia seperti api kecil dan perlu dipadamkan sebelum ia merebak dan menjadi besar dan membahayakan,” kata Sudir dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) terbitan RTM pada Mac 1985.

Beliau juga menghadapi bantahan daripada penuntut Universiti Malaya (UM) apabila hendak mengadakan Konsert Sudirman di Dewan Tuanku Canselor UM pada Ogos 1985. Konsert itu berjaya diadakan tanpa sebarang kekecohan. “Dalam kerjaya saya, pelbagai cabaran dihadapi tetapi saya lalui dengan tabah kerana ini adalah pilihan sendiri,” katanya.

Pada Ogos 1986, Sudir dilaporkan bengang apabila ada pihak mencampurkan aduk persembahannya dengan isu politik dan agama.

“Saya berpegang pada nasihat arwah ayah saya. Kalau saya mahu menjadi penghibur yang baik, saya harus jauhkan diri daripada empat perkara iaitu politik, seks, dadah dan isu agama,” tegas penyanyi ini.

Selepas tiga tahun menduda, persoalan beliau akan berkahwin lagi sentiasa menjadi bahan berita menarik. “Berkahwin memang senang. Tetapi susah mencari wanita yang sesuai dengan jiwa saya. Kalau setakat untuk mahu merasa makanan kegemaran saya, lebih baik saya gajikan seorang tukang masak,” jelasnya.

Apapun, beliau sangat serius apabila kehidupan peribadinya dikaitkan dengan dadah, suka berparti dan seks. “Apabila masyarakat tidak ada jawapan untuk menjelaskan sesuatu persoalan, mereka mula menimbulkan perkara bukan-bukan. Kalau kita tidak jelaskan, mereka pasti ia memang berlaku. Pada hal, kita memang tidak melakukan langsung apa yang mereka sangka itu,” katanya dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar Inggeris yang disiarkan pada Oktober 1989.

“Semasa mengadakan satu persembahan dalam disko, dua lelaki datang bertanya, adakah pengurus saya itu teman lelaki saya? Saya kata, tidak. Salah seorang dari mereka kemudian menawarkan diri menjadi teman lelaki. Saya katakan padanya, saya bukan gay! Dadah? Saya tidak menyentuhnya sama sekali. Saya bukan orang suka berparti. Saya tidak suka bersosial tidak tentu pasal. Saya selesa di rumah,” tegasnya dalam artikel bertajuk ‘Sudirman’s loneliness’ itu.

Daripada kritikan dan kontroversi itu, ada niat diluahkan Sudir tetapi seperti tidak kesampaian.

Pada 1987, Sudir menyatakan hasrat melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman dan teater di New York selama tiga tahun. Katanya, apabila pengajiannya tamat, filem pertama hendak diarahkan berunsur patriotik.

Bagaimanapun, niat mengarahkan filem memang sudah lama tersimpan di hatinya. Pada sidang media sempena pelancaran album Terasing pada 1986, beliau merancang mengarahkan filem komedi yang skripnya ditulis beliau sendiri. Sudir membayangkan barisan pelakonnya ialah Noorkumalasari, Khatijah Ibrahim, Yusni Jaafar, Raja Ema selain beliau sendiri.

Pada 1986, beliau pernah menyuarakan niat mengerjakan ibadah haji tetapi tidak kesampaian. “Tahun depan (1987) saya akan mengerjakan haji. Mulanya hendak tahun ini (1987) tapi banyak harus diuruskan. Pihak Tabung Haji suruh saya daftar dulu,” katanya.

Ketika itu beliau berumur 31 tahun. “Saya tidak mahu ke sana (Makkah) apabila sudah tua dan berjalan menggunakan tongkat. Menyusahkan orang saja,” jelas Sudir yang berasakan mengerjakan Rukun Islam kelima itu, sebaik-baiknya ketika masih sihat, muda dan berkemampuan.

Sebenarnya, walaupun sudah 15 tahun persada seni negara kehilangan beliau, terdapat banyak persoalan yang masih menjadi tanda tanya selepas pemergiannya. Ini termasuk ke mana hilangnya syarikat atau perniagaan yang pernah diasaskannya. Sudir semasa hayatnya pernah menubuhkan Syarikat Usaha Dagang Industri Sdn Bhd yang mengeluarkan minum ringan dengan jenama SUDI. Syarikat itu ditubuhkan dengan modal kira-kira RM3 juta dan produk keluarannya dikatakan mendapat sambutan menggalakkan.

Beliau juga turut menubuhkan Sudir Shoppe di Plaza Bukit Bintang. Ia adalah kedai dan butik yang menjual ‘merchadising’ keluaran dirinya.

Penyanyi dan penghibur itu dikatakan memiliki restoran yang dinamakan Restoran Selera Sudi terletak berhampiran pejabat urusannya, Sudirman Productions di Taman Sri Hartamas. Beliau bersama pengurusnya, Mike Bernie Chin menerusi syarikatnya Sudirman Productions juga mempunyai cita-cita menerbitkan video yang merakam aksinya ketika konsert. Bagaimanapun, rancangan itu seperti tidak kesampaian. Paling ‘misteri’ hingga sekarang ialah apa sudah jadi dengan anak angkat Sudir bernama Surej Kumar? Pada 1990, Sudir membuat kejutan sehingga menimbulkan tanda tanya kepada peminatnya apabila bersetuju menjadikan Surej Kumar, bayi berketurunan India sebagai anak angkatnya. Kalau masih hidup, bagaimana Surej kini kerana sejak Sudir meninggal dunia, tiada lagi berita mengenai anak angkatnya itu.

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Hiburan/20070222073628/Article/

2/24/2007 12:19:00 PM  
Blogger spyz said...

Jasa Sudir wajar dikenang
Oleh Ramlah Zainal

RTM dikatakan banyak simpan koleksi klip video Allahyarham tapi tidak pernah menyiarkannya

HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama terbilang. Pepatah itu tepat untuk menggambarkan pemergian penghibur legenda negara, Allahyarham Sudirman Hj Arshad (Sudir) yang meninggalkan kita, genap 15 tahun hari ini.

Sekalipun 15 tahun sudah berlalu, ingatan peminat kepada anak seni sejati ini tidak pernah pudar, malah sentiasa hidup di hati peminatnya.

Apatah lagi, hingga hari ini, belum ada penyanyi yang mampu menggantikan tempat penghibur versatil yang berjaya menambat hati pelbagai kaum dan masyarakat serta dianggap setaraf dengan seniman agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee ini.

Anak jati kelahiran Temerloh, Pahang yang dilahirkan pada 25 Mei 1955 ini diibaratkan sebutir permata yang menyinari persada seni kerana dianugerahkan pelbagai bakat dan daya kreativiti unik serta tersendiri seperti menyanyi, menulis lirik, berlakon, melukis dan mengarah.

Selepas 15 tahun menggilap nama di persada seni tanah air, Juara Bintang RTM 1976 ini melakar nama sebagai Penyanyi Nombor Satu Asia di Royal Albert Hall, London pada 1989.

Sebagai warga sejati kepada tanah air, Allahyarham turut meninggalkan satu album patriotik, Abadi yang menampilkan lagu Warisan, Punch Card, Kehadiranku, 31 Ogos dan Tegakkan Bendera Kita diterbitkan pada 1986.

Namun, Allah lebih menyayanginya kerana beliau meninggalkan kita pada usia muda iaitu 38 tahun.

Hanya rangkaian lagu popularnya yang mengubati kerinduan peminatnya seperti Balik Kampung, Chow Kit Road dan Merisik Khabar, Salam Terakhir termasuk lagu raya Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Selamat Hari Raya dan Balik Kampung.

Kesetiaan Allahyarham selama 30 tahun kepada Emi juga berbaloi bila syarikat rakaman berkenaan mengambil insiatif menerbitkan album kompilasi Sudirman No 1's yang juga bingkisan istimewa khusus buat seluruh peminatnya di negara ini.

Dalam pada itu, inisiatif Astro Ria menerusi Trek Selebriti Khas yang menyiarkan episod khas memperingati pemergian Sudirman pada 22 Februari 1992 tahun lalu juga wajar dicontohi pihak lain.

Stesen lain juga perlu menganjurkan segmen khas bagi mengenang pemergian Allahyarham saban tahun, sebagai contoh, RTM yang dikatakan banyak menyimpan koleksi video klipnya tapi tidak pernah disiarkan.

Kalau bukan segmen hiburan khas, sekurang-kurangnya pihak berkenaan boleh menerbitkan program wawancara dengan mereka yang pernah bekerja dengan Allahyarham ketika hayatnya.

Jika Astro Ria dengan segmen khasnya, pihak EMI, Arkib Negara dengan kerjasama Istana Budaya juga pernah mengadakan program khas pameran koleksi barangan Sudirman di Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman selama sebulan sempena 10 tahun pemergian Allayarham pada 2002.

Lebih bermakna, objektif pameran dan pengkisahan buat julung kalinya itu juga bagi mengumpul dan mendokumentasikan maklumat berkaitan Allahyarham melalui penceritaan dari keluarga, sahabat serta koleksi barangan peribadi Allahyarham.

Sementara itu, tidak lengkap untuk kita mengingati Allahyarham tanpa bacaan tahlil saban tahun.

Jika tahun lalu, lebih 30 penggiat seni tanah air menghadiri majlis tahlil Allahyarham di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, malam ini (selepas solat Maghrib) pula, akan berlangsung majlis tahlil mengenang pemergiannya di kediaman kakaknya, Datin Rudiah @ Rodziah Arshad di Bangsar.

Sebenarnya, selepas 15 tahun pemergiannya, sudah sampai masanya kita melakukan sesuatu yang lebih bermakna bagi menghargai jasa dan sumbangan Allahyarham yang tidak ternilai dalam memartabatkan industri seni tanah air itu.

Sebelum ini, mungkin kita terlepas pandang untuk memberi anugerah padanya, kini adalah masa paling tepat untuk kita memikirkan anugerah setimpal untuk menghargai anak seni sehebatnya.

Seperti disarankan penerbit filem, penulis skrip dan lirik, Habsah Hassan yang juga sahabatnya Habsah Hassan, sudah sampai masanya kita mewujudkan anugerah sempena namanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/HM/Thursday/Bintang/20070222103926/Article/

2/24/2007 12:21:00 PM  
Blogger spyz said...

[b]Atai mengenang 10 tahun pemergian 'Cokman' - Derita jiwa Sudirman[/b]

Utusan Malaysia, 24/02/2002

ALANGKAH sukarnya untuk mewajahkan hakikat hidup seorang seniman dengan kanta yang jujur dan tulus. Ketika artikel ini ditulis, minda kami telah bejat. Apatah lagi apabila dihadapkan dengan realiti perjalanan hidup seniman kebanggaan negara, Sudirman Haji Arshad.

Tanpa sedar, telah sedekad Allahyarham Sudirman atau Sudir berhijrah ke alam barzah. Saban tahun selepas pemergiannya, penganjuran majlis, keraian dan pelancaran pelbagai pakej nostalgia bagaikan sebuah retorika seni sedangkan sebahagian yang lain hanya menjadi pengeksploit atas nama survival kapitalis seni.

Secara jujur, layar hidup seorang seniman yang jujur tidak wajar dikupasbicarakan. Lantaran banyak ranjau pahit yang ditempuh ketika menuju ke puncak sedangkan yang terpamer di kaca mata masyarakat ialah keceriaan yang memukau.

Pemergian Sudir pada hari Sabtu 22 Februari 1992 sebenarnya membawa bersama seluruh kegembiraan dan keceriaan hidup mereka yang akrab dengan arwah. Lebih-lebih lagi kepada ahli keluarga Allahyarham.

Justeru, pertemuan Mingguan dengan Atai atau nama sebenarnya Razman Azrai Datuk Zainudin pada pagi Rabu lalu di Coffee Bean, Bangsar membuka kembali susur galur hidup dan perjuangan Sudirman.

Barangkali tidak semua pembaca tahu siapa Atai dalam hidup Sudirman. Yang mengenali dan akrab pula barangkali sudah mula melupakan budak lelaki kecil yang manja, keletah dan begitu disayangi oleh allahyarham.

Atai masih seperti dahulu. Dia tenang, petah dan murah dengan senyuman seperti juga bapa saudaranya Sudir. Dulu, ke mana sahaja ada Sudir, di situ ada kelibat wajah manja yang saling tidak tumpah seperti Cokman, iaitu panggilan manja Atai kepada bapa saudaranya.

``Saya begitu rapat dan manja dengan Cokman. Malah Cokman menganggap saya seperti anaknya sendiri.

``Sehinggakan Cokman pernah menyuruh saya memberitahu rakan-rakan peguamnya yang bertanyakan siapakah saya: `Katakan sahaja awak anak Cokman','' Atai memulakan perbualan.

Pemergian Penghibur No. 1 Asia itu berlaku ketika usia Atai baru mencecah 18 tahun. Sarat kesedihan yang ditanggung oleh Atai di penghujung usia remaja itu dipendam sedekad lamanya.

Tidak sedikit rasa terkilan bersarang di dada anak muda ini apabila melihat nama Sudir gah dijaja dan dijulang.

Persoalannya, belum pernah sekalipun naluri Cokman dan manifestasi seni yang diperjuangkannya disingkap secara tulus - tanpa perlu bertopengkan acara yang bakal memberikan keuntungan kepada kapitalis seni tanah air.

Kini Atai sudah berusia 28 tahun, matang dan berwibawa. Dia sekarang sudah bergelar sarjana lulusan University of Rhode Island, Amerika Syarikat.

Seandainya masyarakat tahu gejolak jiwa pemuda ini, pasti mereka bersama berdiri di belakangnya untuk mengangkat perjuangan anak seni bernama Sudir.

Banyak benar koleksi pengalaman yang dikongsi dengan Atai mengenai Sudir sepanjang lebih dua jam perbualan dengan Mingguan.

Tidak ramai yang tahu betapa kasih sayang dan rasa hormat ahli masyarakat - hatta orang yang menjadi perompak sekalipun - begitu tebal terhadap Allahyarham Sudir.

``Pernah suatu ketika saya dan Cokman berjalan bergandingan sambil mencuci mata di pasar malam Bangsar. Tiba-tiba muncul seorang perompak dengan pisau terhunus diacukan ke pinggang Cokman.

``Saya sudah kaget. Cokman tetap tenang. Saya masih ingat perompak itu menggesa diserahkan dompet atau wang kepadanya jika kami sayangkan nyawa. Tiba-tiba Cokman menoleh ke belakang memandang ke arah perompak tersebut.

``Sebaik sahaja perompak itu terlihat wajah Cokman, dia terperanjat. Perompak itu lantas memohon maaf dan terus lari,'' cerita Atai.

Ketika ditanya mengenai kerinduannya kepada Allahyarham Sudir, Atai merenung jauh. Sambil menghela nafas panjang dia berkata, ``belum ada satu hari yang berlalu tanpa saya mengenanginya.''

Sepanjang 10 tahun pemergian Sudir, masyarakat tidak pernah tahu betapa setiap kali Syawal menjelma, setiap kali itulah juga Atai dan keluarganya menyeka air mata.

``Kami sekeluarga tidak boleh mendengar alunan suara Cokman mendendangkan lagu Dari Jauh Ku Pohon Maaf,'' kata Atai dalam suara yang bergetar.

Bahkan sebak yang mereka tanggung tidak berakhir di situ sahaja. Mana mungkin Hari Kebangsaan negara tidak diserikan oleh alunan lagu Tanggal 31 nyanyian Sudir.

Kesengsaraan dan kehibaan sudah menjadi sebahagian daripada rencam hidup Atai sekeluarga. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Mereka tidak mungkin mampu lari daripada alunan suara Allahyarham Sudir yang jiwanya sudah berakar dan bernafas di seluruh kehidupan peminat seni tanah air.

Masyarakat Malaysia sudah terlalu akrab dengan Sudir. Mereka yang pernah hidup sezaman atau dewasa dengan lagu-lagu Sudir amat mengagumi dan menyayangi seniman tulen berjiwa besar ini.

Namun, lumrah seorang seniman yang tulen - berjuang atas nama kecintaan kepada seni semata-mata, lazimnya akan terkorban jiwa, perasaan dan peribadi. Allahyarham Sudir tidak terkecuali.

Namun seluruh kekecewaan itu hanya ditanggung oleh Sudir sendirian.

``Selepas kegagalan rumah tangga Cokman bersama Aunty Kay (Kamariah), Cokman banyak menyendiri di biliknya yang suram dan kelam,'' Atai mengimbas kenangan itu.

Seluruh kegelisahan hidup yang ditanggung oleh Allahyarham Sudirman, kata Atai, tidak sekalipun pernah ditunjukkannya kepada keluarga.

Kata Atai, sebaik keluar dari kamarnya itu, Cokman pantas menjadi periang, lucu dan penuh dengan jenaka.

Demikianlah Atai yang menyimpan seribu cerita perjalanan hidup seorang seniman legenda.

Pada detik-detik akhir wawancara, Atai tidak mampu membendung keharuannya.

``Pada peringkat awal pemergian Cokman, kami sekeluarga sentiasa diselubungi kesedihan kerana arwah terlalu istimewa buat kami.

``Cokman pergi membawa seluruh kebahagiaan hidup kami sekeluarga,'' ujar Atai perlahan.

Dia berikrar tidak akan melupakan amanat terakhir Sudir kepadanya agar tidak sekali-kali meneruskan kehidupan sebagai artis.

``Arwah berpesan kepada saya agar bekerja keras dan melakukan sesuatu untuk agama, bangsa dan negara. Paling utama, janganlah mengikut jejak Cokman sebagai anak seni. Kata Cokman, hidup anak seni penuh dengan pancaroba.''

Dalam nada sedih, Atai mencurahkan isi hatinya: ``Sepuluh tahun berlalu tetapi saya masih terlalu merindui dia.''

2/25/2007 01:05:00 PM  
Blogger spyz said...

[b]Sudirman namanya terus subur[/b]

Utusan Malaysia, 22/2/2002

Hari ini, genap lapan tahun Allahyarham Sudirman Haji Arshad meninggal dunia kerana penyakit radang paru-paru, setelah tujuh bulan terlantar sakit di kediaman kakaknya, Datin Rudiah di Bangsar, Kuala Lumpur.

Allahyarham Sudirman Arshad merupakan artis yang mencatat legenda dunia seni tanah air selepas Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Semasa hayatnya, Allahyarham pernah digelar Penghibur Nombor Satu Asia.

Allahyarham Sudirman disemadikan di tanah perkuburan Kampung Chengal, Temerloh, Pahang.

Namun demikian, nama Sudirman sebagai penghibur rakyat yang berwawasan itu terus subur di hati para peminat kerana lagu-lagunya yang mengandungi mesej kemanusiaan sekali gus amat dekat dengan masyarakat.

Selepas meninggalkan Warnada Rekod dengan lagu popularnya Teriring Doa dan menerusi lebih 15 buah albumnya yang dirakamkan dengan EMI Rekod pula, ternyata kebanyakan lagunya mudah meresap ke jiwa pendengar kerana Sudirman menghayati sepenuhnya ketika setiap kali rakaman dilakukan.

Contohnya, dengarkan saja lagu-lagu nyanyiannya yang menusuk kalbu dengan lirik penuh erti pada judul Aku Penghiburmu, Orang Kampung, Perasaan, Abadi, Anak Muda, Basikal Tua, Anak Desa, Salam Terakhir dan banyak lagi.

''Dalam kerjaya saya sebagai penghibur, saya mahu lakukan bersungguh-sungguh supaya masyarakat terus mengingati buat selama-lamanya,'' kata-kata Allahyarham yang pernah diucapkannya.

Kejayaan Sudirman sebagai penghibur itu juga tidak dapat lari dengan lagu-lagu popular gubahan komposer terkenal seperti Datuk Ahmad Nawab, Ooi Eow Jin, S. Atan, Manan Ngah, Osman Ghani dan Kassim Masdor, selain lirik puitis oleh Habsah Hassan menerusi luahan rasa sebenar penyanyinya.

Sudirman anak kelahiran Temerloh pada 25 Mei 1956 itu berkelulusan Ijazah Undang-Undang dari Universiti Malaya pada tahun 1980.

Bagaimanapun, Allahyarham meninggalkan bidang guaman kerana memilih bidang seni sebagai kerjayanya, selain turut berjinak-jinak dengan dunia perniagaan berikutan muncul di pasaran air minuman ringan dalam tin jenama Sudi iaitu ringkasan Sudirman Usaha Dagang Industri pada tahun 1990.

Karier Sudirman sebagai penyanyi bermula apabila dia muncul sebagai Juara Bintang RTM 1976 peringkat kebangsaan menerusi pertandingan akhirnya di Melaka dengan menyanyikan lagu Seruling Bambu dan Big Spender In The Cabaret.

Kemuncak kejayaan Sudirman sebagai penghibur ialah berikutan terpilihnya dia sebagai Penghibur Nombor Satu Asia mengalahkan kesemua artis popular serantau, termasuk Anita Sarawak dan Leslie Cheung pada satu pertandingan nyanyian Salem Music Award di Royal Albert Hall, London pada tahun 1989.

Sudirman yang meninggal dunia pada usia sekitar 36 tahun ketika masyarakat dan negara masih dahagakan baktinya, lantaran dia merupakan artis istimewa menerusi penonjolan bakat utama sebagai penghibur, pelukis dan penulis.

Sewaktu hayatnya, Sudirman mempunyai ruangan tetap sebagai pelukis karikatur menerusi ruangan Teringat-ingat di dalam majalah hiburan URTV, terbitan Utusan Melayu.

Dalam bidang penulisan, Sudirman pernah menulis di Mingguan Malaysia dan menjadi kolumnis di beberapa buah akhbar mingguan tempatan, antaranya dia pernah menemuramah dan menulis riwayat hidup pahit getir perjuangan bekas Timbalan Perdana, Tun Ghafar Baba di dalam sebuah akhbar tabloid.

Sudirman juga pernah berlakon di dalam filem muzikal drama berjudul Kami arahan pengkritik filem Patrick Yeoh keluaran Indra Film sekitar tahun 1980-an.

Menjelang penghujung usianya, Sudirman memberitahu, dia telah menyiapkan skrip filem Primadona dan bercita-cita untuk menjadi produser dan pengarahnya.

Sebagai pengubat rindu kepada para peminat Sudirman, EMI kini mengeluarkan CD Nilai Cintamu.

Bersempena mengingati usia kematiannya itu juga, pihak EMI mengadakan majlis tahlil untuk Allahyarham di No: 16 Lorong Taban 1, Lucky Garden, Bangsar, Kuala Lumpur, malam ini.

2/25/2007 01:06:00 PM  
Blogger spyz said...

[b]Sudirman yang tetap dirindui[/b]
Oleh BAHYAH MAHMOOD

Utusan Malaysia, 22/02/2004

TARIKH 22 Februari adalah pemergiannya. Kini 22 Februari 2004, diam tak diam sudah 12 tahun penghibur kesayangan ramai Allahyarham Sudirman Haji Arshad meninggal dunia.

Tahun demi tahun, pemergiannya tetap dikenang oleh ribuan peminatnya. Bahkan Sudirman sentiasa di hati insan-insan yang menyayanginya.

``Sedihnya sampai sekarang tak hilang-hilang,'' begitulah kata sedih pilu yang sering diucapkan oleh kakak-kakak dan abang-abang yang ditinggalkan. Merekalah yang menjaganya siang dan malam. Malah yang turut merasakan penderitaan yang ditanggung selama tujuh bulan terlantar sakit.

Sudirman yang periang, ligat dan lincah di pentas menyanyi. Beramah mesra dan keletah senda guraunya. Tetapi di kala itu Sudirman sudah tidak boleh bersuara lagi, membisu seribu bahasa. Cuma sesekali air matanya berlinang seolah-olah menyatakan penderitaannya yang tak tertanggung.

Seorang penghibur ternama (Penghibur Nombor 1 Asia), juga penghibur rakyat yang disayang dan disanjung tiba-tiba terkurung di sebuah kamar sepi, tanpa kata-kata, tanpa suara, tak ubah seperti kanak-kanak dewasa, matanya sentiasa memandang ke bumbung, pandangan yang kosong, tanpa sebarang erti.

Tak siapa yang tahu keadaannya. Tak siapa yang melihatnya selain abang-abang dan kakak-kakaknya. Andai siapa saja yang dapat menemuinya ketika itu, bukan sahaja menangis bahkan meraung dan meratap sepuas-puasnya. Saya menyaksikan sendiri keadaan Sudirman. Saya juga kehilangan kata-kata cuma air mata yang menceritakan gejolak di jiwa.

Penderitaan Sudirman umpama bait-bait lagunya Terasing dan Salam Terakhir (lagu Manan Ngah, lirik Habsah Hassan).

Tersekat nafasku
Kabur pandangan mataku
Amat terseksa diriku

Pemergian ku ini tak dirancang
usah ditanya mengapa aku

mengucap salam terakhir
demi sebuah kenyataan
yang amat menyakitkan
aku tidak berdaya
hanya berserah pada-Nya

Begitulah keadaan Sudirman. Lemah dan tidak berdaya. Hanya berserah kepada Allah yang Maha Berkuasa. Keadaannya tak ubah seperti nyanyian yang dilagukannya.

Salam Terakhir mempunyai makna yang mendalam,'' kata Doktor Roslan, abang Sudirman.

``Setelah dia pergi, barulah kami sedar dan menghayati seni kata lagu itu, penuh bermakna. Seolah-olah dia memberitahu bahawa dia akan pergi.

``Rasa tak sanggup saya mendengar nyanyiannya. Sedih rasa hati. Semua kasetnya tersimpan dengan baik,'' ujar Dr. Roslan.

``Barang-barangnya yang ada di rumah saya, selalu mengingatkan saya kepadanya. Terasa rindu apabila melihat baju Melayunya tergantung. Kalau nak suruh anak-anak saya memakainya, akhirnya nanti buruk dan lusuh. Biarlah tergantung begitu, sebagai pengubat rindu,'' ujar Haji Basir seorang lagi abang Sudirman,

``Apabila terdengar nyanyiannya, lagilah teringatkan dia. Dia memang kelakar. Ada ke saya ini digelarnya ``hero Cina''. Diman memang penghibur dalam keluarga. Memang tak boleh lupa,'' kata Haji Basir yang tidak lupa selalu mendoakan arwah adik kesayangannya itu.

``Masa saya asyik membeli-belah baju raya untuk anak-anak di pusat membeli-belah, tiba-tiba terdengar lagu joget Diman berduet dengan Zaleha Hamid. Terus hati jadi sebak hingga menitis air mata. Tak jadi nak beli baju raya kerana teringatkan dia,'' kata kakak allahyarham, Roaini Haji Arshad seorang jururawat.

``Apabila mendengar nyanyiannya, terasa macam dia ada lagi. Terbayang-bayang semasa dia sakit. Hari-hari saya menangis melihat penderitaannya. Memang sedih. Sedihnya sampai sekarang tak hilang-hilang,'' demikian kata Roaini.

Seorang lagi kakak Sudirman, Datin Hajah Rudiah (emak Atai) pula apabila masak nasi lemak mesti teringatkan Sudirman.

``Diman suka makan nasi lemak. Lauknya tak cukup dengan sambal tumis sahaja. Mesti dia suruh saya rebus telur. Telur rebus mesti ada.

``Kami semua apabila dah berkumpul adik-beradik, pasti teringatkan dia, masa itulah terasa rindu sangat kerana dia sahaja yang tak ada.

``Di rumah, kadangkala saya terjenguk-jenguk teksi yang berlalu di depan rumah, teringat dia datang selalu menaiki teksi,'' ujar Rudiah yang menjaga adik kesayangannya di rumahnya di Bangsar.

Saya sendiri merasa kehilangan Sudirman. Sebelum Sudirman jatuh sakit teruk pada pertengahan tahun 1991, dia ada melayangkan secebis nota yang berbunyi:

``Maaf, saya sudah tidak dapat melukis untuk ruangan teringat-ingat URTV kerana tak terbuat lagi.''

Sama sekali saya tidak memahami kata-kata yang penuh makna itu. Pada fikiran saya, Sudirman terlalu sibuk agaknya!

Alangkah sedihnya saya sendiri tidak tahu bahawa kala itu, Sudirman sudah tidak boleh melukis dan menulis lagi. Tangannya lemah. Dia sakit.

Saya cuba menelefonnya, gagal. Saban hari saya mencarinya, tapi hampa. Sehinggalah mendengar berita yang mengejutkan, Sudirman dikejarkan ke hospital.

Sudirman selalu mengatakan, ``Hubungilah saya kalau ada hal mustahak, tengah malam ke, subuh ke, saya tak kisah.''

Sebagai wartawan, saya memang selalu berhubung terus dengan Sudirman. Terus terang saya katakan padanya, saya kurang gemar berurusan melalui pengurusnya sebagai orang tengah. Saya nak bercakap sendiri dengan Sudirman, tak mahu pakai pengurus.

Sememangnya saya risau sungguh dengan kehilangan Sudirman. Di mana agaknya orang sembunyikan dia? Hati saya terus tertanya-tanya. Apa sakitnya? Bagaimanakah keadaannya?

Sejak saat itu di ruang Syhhh... BAM, saban minggu saya meratap dan merayu kehilangan Sudirman, juga atas desakan peminat-peminatnya yang juga kerisauan. Di mana Sudirman, di mana dia?

Tiba-tiba saya teringatkan kata-katanya:

``Kak Bahyah boleh tak kalau saya membeli tanah kubur di London misalnya?''

Saya tidak terkejut, malah mentertawakannya: ``Mengarutlah!'' jawab saya.

Selamba saja katanya: ``Ini kan angan-angan saya saja. Saya fikir kalau Tuhan nak ambil nyawa saya nanti, biarlah saya mati di London. Kerana saya tak mahu peminat-peminat saya bersedih dan menangis kerana kematian saya, seperti kematian P. Ramlee semua orang menangis, menjadikan Kuala Lumpur banjir air mata peminat-peminat.''

Memang saya tahu Sudirman begitu menyayangi peminat-peminatnya. Walau secarik surat peminat, pasti mendapat balasan. Tidak dihampakan.

Sudirman sentiasa mahu peminat-peminat melihat dia sentiasa riang menyanyi dan menghibur. Sudirman pasti berpesan sejak awal lagi kepada kakak-kakak dan abang-abangnya, sekiranya dia sakit, dia tidak mahu sesiapa pun datang menziarahinya. Kerana orang sakit pasti lemah dan tidak ceria.

``Dia mahu peminat-peminatnya melihat dia sihat, ceria, penghibur yang hebat, sebagai hero di pentas. Sememangnya dia tidak mahu meninggalkan kenangan yang teramat sedih di hati peminat setelah melihat dia terlantar sakit dan meninggal dunia,'' begitu penjelasan Rudiah apabila ditanya apakah Sudirman sendiri yang tidak mahu orang lain melihat dia sakit selain adik-beradiknya.

Mujurlah saya meratap merayu di kolum Syhhh... BAM hinggakan hancur luluh hati Dr. Roslan membacanya saban minggu di akhbar Mingguan Malaysia, lantas menelefon Rudiah supaya mengizinkan saya menziarahi Sudirman.

Rudiah meminta izin daripada Sudirman sendiri yang ketika itu sudah tidak boleh bercakap, tapi faham apabila ditanya.

Kata Rudiah, Sudirman mengangguk dan berlinangan air matanya ketika itu. Mungkin dia tahu Bahyah Mahmood tetap sayangkan dia.

Berdebarnya hati saya semasa melangkah masuk ke rumah Rudiah, menaiki tangga dan dibawa ke bilik yang dihuni oleh Sudirman. Memang sungguh memeranjatkan. Seluruh anggota saya jadi lemah, terpaku dan terpukau menatap Sudir yang lemah, pendiam dan membisu.

Sudirman bukan lagi Sudirman yang sebenarnya. Bagaikan Sudirman jelmaan yang tidak tahu apa-apa, tak ubah seperti budak yang tidak tahu berkata-kata. Namun air matanya berlinang. Hingga saat ini saya masih lagi terpandang-pandang dan teringat-ingat.

Sekali-sekala apabila mendengar selingan nyanyian di TV terasa sebak yang amat sangat, terasa dia masih hidup, membuatkan saya bercakap sendirian.

Buku surah Yasin Sudirman berwarna kuning, terungkap kata-kata: ``Bagi mengingati Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang telah kembali ke rahmatullah pada 22 Februari 1992 bersamaan 18 Syaaban 1412. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, al-Fatihah. Dengan ingatan tulus ikhlas daripada keluarga Allahyarham.''

Buku surah Yasin Sudirman sentiasa berada di dalam beg telekung saya. Setiap malam Jumaat buku Yasin Sudirman inilah yang saya tatap dan membacanya di surau Al-Huda, Taman Keramat. Biarpun macam-macam buku Yasin yang dihadiahkan, namun buku Yasin Sudirman sudah melekat di hati saya sebagai pengubat rindu kepada adik tersayang.

Mewakili adik-beradiknya seramai tujuh orang, Dr. Roslan berharap sangat royalti hasil jualan kaset, CD dan sebagainya keluaran EMI dapat digunakan sebaik-baiknya untuk kebajikan berupa biasiswa untuk pelajar-pelajar miskin.

Sememang itulah menjadi impian Sudirman semasa hayatnya. Dia ingin membantu pelajar-pelajar miskin yang tidak berkemampuan melanjutkan pelajaran ke peringkat paling tinggi.

Hari ini 22 Februari, sempena 1 Muharam 1425 berlangsung tahlil mengenang pemergian Sudirman di rumah Dr. Roslan dan isterinya Fatimah Sidik.

Biarpun jasad telah dibatasi bumi, kasih dan sayang tetap basah ingatan. Seperti lirik lagu ghazal Musalmah Manis, ``Hati yang baik, mulut yang manis. Sampai mati dikenang orang.''

- Penulis adalah bekas Pengarang URTV.

2/25/2007 01:07:00 PM  

Post a Comment

<< Home